NAYRAAFIKA ambil masa lebih dua jam untuk mencabut kira-kira 200 helai bulu mata dipakai jenazah ibu saudaranya.
NAYRAAFIKA ambil masa lebih dua jam untuk mencabut kira-kira 200 helai bulu mata dipakai jenazah ibu saudaranya.
Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Tidak sampai sebulan menjalankan perkhidmatan kecantikan termasuk penyambungan bulu mata, namun pengalaman mencabut sambungan bulu mata palsu pada jenazah menginsafkan seorang jururias.

Bukan saja berhenti menyediakan khidmat itu tetapi wanita yang mahu dikenali sebagai Nayraafikaa, 33, turut menanggalkan bulu mata palsu dipakainya selama dua tahun.

Dia yang kini menjadi jurujual dalam talian berkata, peristiwa hitam yang berlaku pada 2018 itu menyebabkan dia nekad 'bersara' daripada bidang berkenaan serta menjual semula kesemua peralatan yang dibelinya dengan kos mencecah RM5,000.

Berkongsi kisahnya, Nayraafikaa berkata, dia mula berjinak dengan bidang kecantikan dan mengikuti pelbagai kursus berkaitan pada 2017.

Walaupun dihalang ibu ketika itu, katanya, dia berjaya meyakinkan ibu dan suaminya bahawa perkhidmatan yang akan ditawarkannya iaitu penyambungan bulu mata adalah tidak haram serta sah wuduk.

"Sebenarnya saya tipu mereka kerana terlalu taasub untuk mencapai impian sebagai jurukecantikan, jadi saya halalkan yang haram.

"Peringkat permulaan saya hanya buat perkhidmatan itu secara separuh masa di rumah. Saya sempat dapat tiga pelanggan yang buat penyambungan bulu mata.

"Sehinggalah satu hari ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, suami hubungi dan beritahu ibu saudaranya meninggal dunia dan keluarga meminta bantuan saya untuk mencabut bulu mata dipakai arwah.

"Pada mulanya saya menolak tetapi mereka merayu kerana tiada siapa yang mahu lakukannya.

"Saya berasa simpati lalu bersetuju untuk membantu," katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, ibu kepada dua anak itu berkata, sebaik tiba dia mula berasa tidak sedap hati ditambah pula perlu melakukan tugas mencabut sambungan bulu mata bersendirian tanpa ditemani pengurus jenazah.

Menurut Nayraafikaa, dia mula menggigil dan menangis sebaik tangannya menyentuh dahi jenazah ibu saudara yang kesejukan.

"Saya cuba menahan air mata tapi sangat susah. Saya terpaksa berhenti seketika untuk tenangkan diri sebelum mula balik. Saya perlu fokus untuk cabut setiap bulu mata menggunakan cecair khas yang berfungsi mencairkan gam.

"Saya perlu lebih berhati-hati kerana bimbang cecair itu masuk ke dalam mata jenazah selain bimbang tercabut bulu mata yang asal.

"Saya ambil masa lebih dua jam untuk cabut kira-kira 200 helai bulu mata. Selepas selesai barulah jenazah diserahkan kepada pengurus jenazah untuk dimandi dan dikafankan," katanya.

Katanya, kejadian itu bukan saja membuatkannya, trauma tetapi turut menginsafkannya sehingga nekad untuk tidak lagi memakai sambungan bulu mata selain turut berhenti menjalankan perkhidmatan berkenaan termasuk kepada wanita bukan Islam.

Nayraafikaa berkata, menyedari hakikat bahawa ramai wanita Islam yang memakai sambungan bulu mata dan ada juga yang bertanya mengenai status pemakaian daripada sudut agama, dia berasa bertanggungjawab untuk memberi penjelasan di media sosial.

Menurutnya, perkongsian pengalamannya itu bukan untuk membuka aib sebaliknya memberi kesedaran kepada orang ramai.

NAYRAAFIKAA (kanan) ketika ditemubual wartawan mengenai pengalamannya mencabut sambungan bulu mata  jenazah. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
NAYRAAFIKAA (kanan) ketika ditemubual wartawan mengenai pengalamannya mencabut sambungan bulu mata jenazah. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Mata kena jangkitan akibat obses nak nampak cantik

Mahu kelihatan natural beauty atau cantik secara semula jadi tanpa mengenakan solekan, membuatkan segelintir golongan wanita sanggup melakukan pelbagai prosedur kecantikan pada wajah seperti sulam bedak, sulam kening dan penyambungan bulu mata.

Prosedur itu turut menjadi pilihan wanita Muslim walaupun ia haram di sisi agama kerana beranggapan teknik berkenaan tidak mengubah wajah seperti mana memakai susuk atau pembedahan plastik, malah ia tidak kekal lama.

Difahamkan, ia turut digunakan golongan artis dan pempengaruh yang ingin sentiasa kelihatan cantik walaupun tanpa solekan.

Dengan kos lebih murah, selain prosedurnya yang mudah dan tidak menyakitkan serta tidak perlu menjalani pembedahan menyebabkan ia menjadi pilihan dan trend masa kini.

Prosedur penyambungan bulu mata, sulam kening atau sulam bedak itu hanya boleh dilakukan di salon kecantikan atau spa dengan kos serendah RM100.

Malah, perkhidmatan itu turut dikesan dilakukan oleh individu yang tidak bertauliah termasuk di gerai jualan dan kaki lima premis menyebabkan ada pemakai yang mengalami kesan sampingan daripada pemakaian itu.

Berkongsi pengalaman memakai sambungan bulu mata, seorang gadis mahu dikenali Linda, 30, berkata, dia mengalami jangkitan sehingga matanya menjadi kemerahan dan bengkak menyebabkannya terpaksa berhenti memakainya.

Menurutnya, pada awal dia tertarik untuk membuat sambungan bulu mata selepas melihat iklan di media sosial, kira-kira tiga tahun lalu.

"Di awal pemakaian, saya sangat gembira sebab mata saya kelihatan cantik walaupun tanpa solekan.

"Ibu saya menasihati saya supaya mencabutnya kerana ia haram tetapi saya berdegil.

"Namun selepas itu, sekali lagi membuat penyambungan bulu mata bagi menggantikan bulu mata yang lama mata saya mula berasa gatal dan kemerahan.

"Saya sangka mungkin ia cuma kesan awal tapi selepas beberapa hari keadaan masih sama dan membuatkan saya berasa tidak selesa. Saya kemudian ke premis itu semula dan ambil keputusan mencabutnya," katanya.

Berikutan itu, Linda berkata, dia sudah serik dan tidak mahu lagi memakai sambungan bulu mata.

Seorang lagi wanita mahu dikenali Diana, 33, berkata, dia melakukan penyambungan bulu mata pada 2019 kerana tertarik melihat rakan memakainya.

"Saya mendapatkan khidmat pemasangan bulu mata dengan kos kira-kira RM200 di sebuah salon kecantikan di ibu kota.

"Ketika itu, saya sangat gembira kerana bulu mata jadi tebal dan cantik walaupun tak pakai 'maskara'.

"Tambah pula saya kerja sebagai juru kecantikan di premis menjual produk kosmetik, jadi saya perlu sentiasa kelihatan cantik untuk menarik minat pelanggan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, ada seorang pelanggan datang ke premis dengan mata yang bengkak mendakwa kesan sampingan daripada penyambungan bulu mata.

Diana berkata, dia mula berasa bimbang akan mengalami kesan sampingan sama selain berasa berdosa kerana ia haram dan tidak sah solat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 12:00 PM