CERMIN yang dilekatkan pada dinding sekolah SK Seri Indah untuk mengukur pergerakan tanahFOTO Genes Gulitah
CERMIN yang dilekatkan pada dinding sekolah SK Seri Indah untuk mengukur pergerakan tanahFOTO Genes Gulitah
Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Indah berdepan masalah keretakan.
Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Indah berdepan masalah keretakan.
Oleh Hadzlan Hassan


Kuala Lumpur: Keadaan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Indah, Taman OUG di sini, yang berdepan masalah keretakan dipercayai akibat pembangunan projek bersebelahan meresahkan ibu bapa berikutan khuatir dengan keselamatan murid di situ.

Seorang waris yang enggan dikenali mendakwa bangunan sekolah itu mempunyai rekahan selain berlaku mendapan tanah dengan kedalaman sehingga satu meter.

"Selain itu, wujud lubang yang agak dalam di bahagian belakang bangunan, sekali gus berbahaya kepada murid walaupun kawasan berkenaan ditutup.

"Mana tidaknya, bangunan itu menempatkan pelajar pendidikan khas yang hiper aktif dan agak sukar dipantau sepanjang masa.

"Walaupun anak saya tidak berada di bangunan itu, saya agak prihatin dengan nasib murid lain kerana khuatir ada yang terlepas ke belakang bangunan," katanya.

Kawasan bangunan berkenaan menempatkan tujuh kelas murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), bilik guru PPKI, bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), pusat kokurikulum dan pusat sumber prasekolah.

Difahamkan, keadaan sekolah yang dikelilingi kawasan perumahan elit itu berlarutan sejak setahun lalu.

Berdasarkan gambar yang dikongsi kepada Harian Metro, terdapat alat pengukur khas pergerakan tanah diletakkan di kawasan sekolah oleh pihak berkuasa dipercayai milik Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

Selain alat berkenaan, terdapat juga kaca digunakan untuk mengukur tahap kerenggangan bangunan yang mana satu daripada kacanya sudah pecah.

Seorang lagi waris berkata, selain masalah struktur, ramai dalam kalangan murid dan guru sering mengalami selsema akibat habuk selain keadaan tingkap kelas yang perlu ditutup dan dilap setiap hari.

REKAHAN pada lantan bangunan sekolah.FOTO Genes Gulitah
REKAHAN pada lantan bangunan sekolah.FOTO Genes Gulitah

Sementara itu, guru besar sekolah berkenaan, Zaini Mohd Endot ketika diminta mengulas berkata, kejadian berkenaan berlaku akibat satu projek pembinaan di kawasan berhampiran.

Beliau bagaimanapun meminta ibu bapa agar tidak terlalu risau kerana sudah mengadakan perbincangan dengan pemaju yang menjalankan kajian mengenai struktur tanah dan bangunan di situ.

"Pemaju memaklumkan tiada pergerakan struktur bangunan dan ia masih selamat digunakan kecuali berlaku sedikit tanah jerlus dan ia sentiasa diatasi oleh pemaju.

"Mereka mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan dan pihak sekolah sentiasa bekerjasama dengan pemaju mengenai soal keselamatan murid dan kakitangan, malah hal ini juga sudah berada dalam pengetahuan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)," katanya.

Senada dengan guru besar, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Anita Hamzah berkata, ibu bapa tidak perlu risau kerana pihak sekolah mendapat jaminan daripada pemaju yang memaklumkan struktur bangunan itu masih selamat digunakan.

"Berhubung masalah struktur bangunan yang dikatakan terjejas, pihak kontraktor sudah memberikan laporan dan jaminan bahawa bangunan sekolah selamat digunakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 7:01 AM