Fazurawati Che Lah


TIDAK sampai tiga jam, lakaran doodle Minions di dinding luar satu bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor ini berjaya disiapkan lapan kanak-kanak istimewa dengan penuh keceriaan.

Projek khidmat sosial oleh pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor dengan kerjasama Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu memberi peluang kepada kanak-kanak daripada Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) berkenaan menyerlahkan bakat seni dimiliki.

Kanak-kanak itu bukan saja dapat menyiapkan doodle dengan cemerlang malah pada masa sama turut menghasilkan lukisan mural bertemakan angkasa di dinding luar lapan kelas sekolah berkenaan.

Program Keceriaan Mural dan Chef Cilik Adabi selama sehari itu juga dimeriahkan dengan aktiviti memasak oleh murid PPKI yang menyediakan mi goreng serta cucur bilis selain membuat air asam jawa.

Matlamat program untuk mencungkil bakat dan memberi peluang kepada pelajar keperluan khas membina keyakinan diri untuk bersaing dengan pelajar lain.

MURAL bertemakan angkasa lepas yang dihasilkan murid PPKI.
MURAL bertemakan angkasa lepas yang dihasilkan murid PPKI.

Kemahiran diri murid keperluan khas juga dapat ditingkatkan dengan menghasilkan lebih banyak hasil kerja untuk membuktikan kebolehan dan potensi mereka, selain menyediakan peluang untuk bergiat aktif serta merasai diri dihargai.

Guru Pendidikan Khas, Sharifah Hana Lia Syed Kamaluddin berkata, lukisan mural dan doodle serta aktiviti memasak itu memenuhi sukatan pelajaran Kemahiran Hidup PPKI bertujuan melahirkan individu mampu berdikari.

Katanya, kanak-kanak PPKI itu diajar melukis dan mewarnakan doodle menggunakan tangan.

“Memilih tema angkasa adalah inspirasi daripada kejayaan Angkasawan Negara, selain mahu menyampaikan mesej berguna kepada murid istimewa ini.

“Kami mahu murid PPKI ini berusaha dalam apa jua yang dilakukan mereka untuk mengejar cita-cita dan tidak berputus asa dengan kekurangan yang ada,” katanya.

Katanya, aktiviti memasak itu juga diharap diteruskan pelajar PPKI

di rumah bagi memastikan mereka terus menggilap kemahiran itu.

“Mereka seronok apabila diberi peluang memasak beramai-ramai kerana dibenarkan melakukan kerja itu sendiri daripada proses awal termasuk menyediakan bahan masakan.

“Anak PPKI sentiasa digalak melakukan kerja memasak di rumah supaya kemahiran motor halus mereka dapat ditingkatkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Sharifah Hana Lia mengakui pelajar PPKI sangat istimewa, selain belajar akademik, mereka juga belajar pelbagai ilmu kemahiran untuk masa depan.

SHARIFAH Hana Lia bersama murid PPKI di bawah bimbingannya.
SHARIFAH Hana Lia bersama murid PPKI di bawah bimbingannya.

Menurutnya, alam persekolahan dilihat sebagai laluan, lorong atau wadah untuk mereka mengembangkan dan menonjolkan bakat serta kemahiran dalam segenap aspek.

“Dalam program PPKI ini, ia adalah satu cara pihak sekolah mencungkil bakat dan kebolehan mereka melalui aktiviti atau pertandingan.

“Aktiviti seperti masakan, solekan dan hiasan kek diadakan khusus untuk pelajar khas serta mereka boleh tonjolkan daya kreativiti mengikut kemahiran masing-masing,” katanya.

Beliau yang sudah sembilan tahun membimbing murid PPKI berkata, sememangnya pencapaian pelajar khas kurang dari segi akademik, tetapi melalui penerapan kemahiran akan menonjolkan kebolehan diri mereka.

“Dari segi akademik, pelajar PPKI tak setanding pelajar aliran perdana. Namun, tidak bermakna mereka tidak boleh berjaya pada masa akan datang.

“Dengan menyediakan peluang dalam bidang kemahiran seperti memasak, menjahit, berkebun dan lain-lain, mereka boleh berjaya.

“Kebanyakan pelajar PPKI berjaya menguasai kemahiran itu, cuma tinggal untuk digilap bakat sedia ada supaya terus berkembang,” katanya.

Oleh itu, katanya, pihak kerajaan seharusnya menyokong individu istimewa itu melalui program pada peringkat tinggi dengan menyediakan kursus atau program vokasional bersesuaian.

Katanya, sistem Pendidikan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) dan kemahiran keusahawanan dilihat dapat membentuk masa depan remaja istimewa dan orang kurang upaya (OKU) yang lebih baik.

“Ketika ini, peluang pekerjaan untuk golongan berkenaan sangat rendah dan keadaan itu menyukarkan mereka.

“Kemahiran keusahawanan dilihat sebagai peluang meningkatkan prospek

dan kelangsungan hidup mereka supaya boleh berdikari serta tidak ketinggalan dalam urusan kehidupan seterusnya,” katanya.

Sharifah Hana Lia berkata, membimbing pelajar khas pada peringkat sekolah rendah atau menengah agak mencabar.

Sehubungan itu, katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam membentuk keperibadian anak-anak istimewa supaya mereka tetap bersemangat dan tidak rasa rendah diri.

“Ahli keluarga perlu memberi sokongan kepada pelajar ini. Ibu bapa juga boleh membentuk kemahiran anak istimewa di rumah, biarkan mereka berdikari.

“Selalulah beri pujian, ucapan tahniah dan sokongan apabila mereka pulang ke rumah. Cara ini membuatkan mereka bersemangat untuk belajar kemahiran,” katanya.

MURID diberi peluang memasukkan perencah ke dalam masakan.
MURID diberi peluang memasukkan perencah ke dalam masakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 11:41 AM
LUKISAN Mural dan demostrasi memasak oleh kanak-kanak  Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor.
LUKISAN Mural dan demostrasi memasak oleh kanak-kanak Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor.