Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pemaju pangsapuri servis di Jalan Sultan Azlan Shah, Kampung Sungai Nibong di sini, menambah baik aspek keselamatan susulan aduan penduduk yang gusar dengan aktiviti di tapak pembinaan terlalu hampir dengan sebuah sekolah di situ.

Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Ahmad Azrizal Tahir berkata, pemaju sudah mengambil langkah keselamatan berkenaan sebelum aduan dibuat termasuk pemasangan 'catch netting' di sekeliling bangunan.

Katanya, selain itu, kenderaan di kawasan sekitar pula dipasang penutup kanvas sepanjang tempoh bekerja antara jam 8 pagi sehingga 7 petang atau sehingga selesai kerja konkrit yang dipantau seramai tiga pekerja.

"Pihak pemaju akan melakukan penambahbaikan dengan memasang pelantar kerja yang dilitupi penuh jaring di aras pembinaan selain pemasangan plastik di sekeliling kawasan bagi kerja konkrit.

"Penggantian jaring kepada zink di sekeliling pagar sekolah akan dilakukan dalam tempoh seminggu manakala 'heavy duty netting' sebagai perlindungan berganda pula akan dipasang di halaman sekolah berdekatan dengan tapak binaan.

"Bumbung dua lapisan juga dipasang sebagai tempat berteduh kepada murid," katanya ketika ditemui pada sidang media khas di sini, semalam.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kegusaran penduduk dan ibu bapa murid mengenai tahap keselamatan berikutan sisa binaan dari bangunan setinggi 42 tingkat yang sedang dibina itu kerap menimpa kenderaan di sekitarnya.

Bukan sahaja cat, sisa bancuhan dan habuk simen, malah ibu bapa juga bimbang sekiranya ada objek lain yang jatuh menimpa murid atau orang awam pada masa akan datang.

Sementara itu, wakil pemaju, Michael Ong berkata, kerja pembinaan dilakukan sejak 21 Oktober 2019 selepas mendapat kelulusan pelan bangunan pada 19 Mac tahun yang sama.

PEMBINAAN bangunan setinggi 42 tingkat berhampiran sekolah di Sungai Nibong, di sini, mendatangkan kegusaran kepada penduduk dan ibu bapa murid. FOTO Zuhainy Zulkiffli
PEMBINAAN bangunan setinggi 42 tingkat berhampiran sekolah di Sungai Nibong, di sini, mendatangkan kegusaran kepada penduduk dan ibu bapa murid. FOTO Zuhainy Zulkiffli

"Kini pembinaannya sudah menjangkau 80 peratus dan dijangka siap awal tahun depan. Kami faham dengan sensitiviti ini dan langkah keselamatan juga sudah diambil sejak awal lagi.

"Selama pembinaannya, kami memberi kerjasama penuh kepada pihak sekolah misalnya menghentikan kerja pembinaan pada waktu tertentu ketika hari peperiksaan supaya tidak mengganggu pembelajaran," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengesahkan sudah menerima aduan berkaitan keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan bangunan itu.

JKKP Pulau Pinang menerusi kenyataan berkata, satu pasukan siasatan yang diketuai Pengarahnya Hairozie Asri, sudah menjalankan lawatan dan siasatan mengejut ke tapak pembinaan sebaik menerima aduan.

Katanya, lanjutan daripada pemeriksaan itu, satu perbincangan antara pihak JKKP Pulau Pinang, pengurus projek tapak pembinaan dan guru besar sekolah sudah dilakukan.

"Menerusi perbincangan itu, pihak syarikat pembinaan bersetuju bagi meningkatkan tahap kawalan keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan kawasan sekolah demi menjamin keselamatan murid dan penduduk di sekitarnya.

"JKKP Pulau Pinang juga akan menjalankan siasatan lanjut mengenai aduan berkaitan serta mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati berlaku pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 11:06 AM