Sudirman Mohd Tahir


Behrang: Sebanyak 15 sekolah rendah di daerah Muallim menerima sumbangan alat bantu mengajar berupa komputer riba dan projektor LCD (paparan kristal cecair) pada program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) dengan kerjasama DRB-HICOM Berhad, kelmarin.

Inisiatif itu bagi melancarkan kaedah mengajar secara pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC), sekali gus merealisasikan visi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.

Ketua Bahagian Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM, Cairil Irwan Amir berkata, program dan sumbangan seumpama itu amat diperlukan bukan saja untuk sekolah tapi juga guru.

"Kami merasakan sumbangan dan aktiviti sebegini amat penting kerana masih terdapat sekolah yang tiada komputer dan projektor ini sebagai alat bantuan mengajar di sekolah mereka.

"Jadi, menerusi program TKHM ini, kami bangga dapat bersama-sama dengan Harian Metro untuk bekalkan pada sekolah yang memerlukan.

"Harapan kami agar cikgu dapat menggunakan dan berkongsi peralatan diberikan dengan sebaiknya. Kami juga berharap badan korporat yang lain dapat turut bersama menyumbang dalam memperkasakan lagi pembelajaran di sekolah," katanya.

PERSEMBAHAN angklung oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 memeriahkan suasana. FOTO GENES GULITAH
PERSEMBAHAN angklung oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 memeriahkan suasana. FOTO GENES GULITAH

Cairil ditemui pada Majlis Sumbangan Alat Bantu Mengajar Kepada Sekolah-sekolah di daerah Muallim, Perak yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020.

Sementara itu, Husain berharap sumbangan itu dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua sekolah dan guru seiring dengan suasana pembelajaran dan pengajaran baharu yang lebih pada teknologi dan digital.

"Ini adalah kesinambungan program di Daerah Kuala Muda/Yan, Kedah. Sekali lagi, TKHM bekerjasama dengan pihak DRB-HICOM Berhad. Sama juga, kita berikan alat pemudah cara iaitu alat bantu mengajar yang diberikan pada 15 sekolah di daerah ini termasuk sekolah luar bandar dan dalam bandar.

"Diharapkan, dalam era digital sekarang ini murid dan guru selari dengan era digital yang dilalui dari segi pembelajaran dan pengajaran mereka. Seperti sedia maklum, kebanyakan industri sekarang sudah memasuki industri 4.0 yang berkaitan dengan robotik sepenuhnya.

"Dengan adanya program dan sumbangan sebegini akan membantu sekolah dan guru di daerah ini merealisasikan kehendak kerajaan untuk kita membimbing anak murid ke arah industri 4.0 dan tak lama lagi 5.0," katanya.

CAIRIL (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan alat bantu mengajar kepada SK Aminuddin Baki, Slim River. FOTO GENES GULITAH
CAIRIL (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan alat bantu mengajar kepada SK Aminuddin Baki, Slim River. FOTO GENES GULITAH

Program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah Muallim, yang menyenaraikan sekolah yang akan menerima sumbangan.

Pegawai Pendidikan Daerah Muallim Hamizah Abdul Hamid berkata, pemilihan sekolah adalah merangkumi semua aspek.

"Menerusi program TKHM ini, saya dapat lihat pihak swasta sudah membantu kami merealisasikan tujuh teras KPM yang mana satu daripadanya adalah pendigitalan. Harapan saya nanti, insya-Allah semua sekolah ini menggunakan sepenuhnya kemudahan diberikan untuk meningkatkan mutu pendidikan dalam pembelajaran dan pengajaran.

"Pemilihan sekolah pula adalah merangkumi semua aspek. Ada sekolah kurang murid, sekolah luar bandar, sekolah Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) dan sekolah yang mempunyai program pendidikan khas. Jadi kita rangkumi semua supaya semua sekolah dapat nikmat bersama seperti yang diharapkan," katanya.

GURU dan pelajar Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 membaca akhbar Harian Metro. FOTO GENES GULITAH
GURU dan pelajar Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 membaca akhbar Harian Metro. FOTO GENES GULITAH

Sekolah yang terbabit bagi menerima sumbangan ini adalah SK Aminuddin Baki, SK Bandar Behrang 2020, SK Kuala Slim, SK Slim River, SK Balun, SK Trolak Timur dan SK Datuk Nan Kaya.

Turut tersenarai SK Ulu Slim, SK Slim Village, SK Behrang, SK Sungai Behrang, SK Dato' Kamaruddin, SJK (C) Phin Min dan SJK (T) Trolak.

Pada majlis itu turut diadakan pameran inovasi daripada beberapa sekolah yang mana pelajarnya menghasilkan ciptaan inovasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 8:01 AM
HUSAIN  dan Cairil    bersama  penerima  alat bantu mengajar pada program TKHM bersama DRB-HICOM di Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020. FOTO GENES GULITAH
HUSAIN dan Cairil bersama penerima alat bantu mengajar pada program TKHM bersama DRB-HICOM di Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020. FOTO GENES GULITAH