Nurul Ain dan suami masih meneruskan aktiviti menyalurkan bantuan kepada penduduk di Gaza. FOTO Nurul Ain
Nurul Ain dan suami masih meneruskan aktiviti menyalurkan bantuan kepada penduduk di Gaza. FOTO Nurul Ain
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Konflik Hamas-Israel yang memasuki hari ke-15 menyebabkan penduduk Semenanjung Gaza, Palestin terus dihimpit isu kekurangan bekalan asas dan berdepan dengan kenaikan harga barang.

Rakyat Malaysia yang terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron, 37, berkata, ramai bertahan dengan makan roti berikutan kehabisan gas untuk memasak namun bukan semua penduduk berkemampuan berikutan harga barang naik mendadak sejak konflik itu melanda.

"Alhamdulillah, saya dan keluarga sihat, cuma keadaan sangat teruk sekarang dengan tiada elektrik, air dan gas untuk memasak pun dah kehabisan.

"Ramai berebut pergi kedai beli roti sebab gas habis dan harga barang pun naik mendadak, contohnya dulu gas 60 shekel (RM70.46) sekarang naik 100 shekel (RM117.43).

"Macam air yang diisi dalam tangki pun sama harganya naik, sebelum ini 1,000 liter itu dalam 35 shekel (RM41.10) saja tapi sekarang sudah 50 shekel (RM58.72)," katanya ketika dihubungi Harian Metro, malam kelmarin.

Kelmarin, lori yang membawa bantuan kemanusiaan yang pertama dibenarkan masuk ke wilayah itu selepas sempadan Rafah, penghubung antara Palestin-Mesir mula dibuka.

Berkongsi lanjut, Nurul Ain berkata, biarpun sempadan Rafah sudah dibuka, namun setakat ini belum ada bantuan yang masuk disalurkan kepada penduduk.

"Bagi penduduk yang melarikan diri terutama rumah mereka musnah agak sukar mendapatkan bekalan kerana setakat ini stok makanan belum lagi masuk.

"Macam saya, suami dan keluarga mentua di Khan Younis, Alhamdulillah walaupun harga barangan naik, kami masih boleh bertahan dan biasanya kami makan sekali saja sehari kalau malam lapar, kami makan makanan ringan seperti kekacang atau ubi dengan kopi.

"Untuk mandi dan mengecas telefon, saya menumpang di rumah kakak ipar kerana dia ada elektrik menggunakan tenaga solar," katanya.

Katanya, keadaan di Gaza tidak dijangka kerana saban hari ada saja serangan terbaru yang mengancam penduduk.

"Keadaan memang tak terkawal sebenarnya kerana hari-hari kami dengar bunyi bom tak kira jauh atau dekat dan semalam (kelmarin) pun baru saja ada kawasan berdekatan dibom.

"Kami sentiasa dalam ketakutan sampaikan tak boleh tidur lena kerana bimbang memikirkan apa lagi akan berlaku selepas ini," katanya.

Nurul Ain berkata, dia dan suami, Mohamed Adnan Shaat, 33, dalam mode bersiap sedia selepas pihak Kedutaan Malaysia di Kaherah menghubunginya untuk proses keluar dari Gaza.

"Sementara menunggu kami dapat dikeluarkan dari sini, saya dan suami masih meneruskan aktiviti menyalurkan bantuan hasil sumbangan rakan dan rakyat Malaysia serta Singapura, tetapi sekarang agak sukar sedikit kerana stok bekalan terhad dan agak mahal.

"Saya cuma harap dapat keluar segera dari Gaza, tapi dalam masa sama saya tekad akan terus tolong orang di sini nanti," katanya.

Untuk rekod, Nurul Ain dan suami yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pertama kali pulang ke rumah keluarga mentua di Khan Younis selepas enam tahun berkahwin.

Pasangan itu terkandas di sana sejak tiba di negara itu pada 1 Oktober lalu.

Jumaat lalu, bapa wanita itu, Haron Hamim, 65, memohon kerajaan mengeluarkan segera anaknya itu selepas dia mendakwa, tiada sebarang makluman diterima mengenai perancangan kerajaan ketika kunjungannya ke Wisma Putra, Rabu lalu.

Sebelum ini, kerajaan menerusi Wisma Putra memaklumkan usaha sedang dilakukan bagi mengeluarkan rakyat Malaysia yang terperangkap di wilayah bergolak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 7:02 AM