NURUL Ain dan suami bergambar di sebuah kawasan sebelum ia musnah akibat serangan bom tentera Israel.
NURUL Ain dan suami bergambar di sebuah kawasan sebelum ia musnah akibat serangan bom tentera Israel.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Harapan warga Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, yang berada di Gaza, Palestin untuk cuba keluar dari kawasan perang itu dengan selamat semakin cerah apabila Lintasan Rafah, penghubung sempadan Palestin-Mesir mula dibuka semalam untuk bantuan kemanusiaan.

Dalam satu audio pendek menerusi WhatsApp yang dihantar kepada wartawan Harian Metro tengah malam tadi, Nurul Ain menjelaskan dia dalam standby mode untuk pergerakan keluar dari Gaza.

"Perkembangan untuk keluar dari Gaza saya masih menunggu. Saya on standby (dalam keadaan bersedia) sebab apa yang dapat tahu hari ini (semalam) first aid (misi bantuan) dah dapat masuk dari border (sempadan) Rafah.

"Saya on standby sahaja sekarang. Ada pihak Kedutaan Malaysia di Kaherah yang menghubungi saya," katanya dalam satu audio WhatsApp berdurasi 24 saat yang dikirimkan jam 11.40 malam tadi. Bagaimanapun, wartawan belum menerima lagi mesejnya selepas itu.

Lebih dua minggu diserang menerusi pengeboman dari udara oleh rejim Yahudi Zionis Israel, perkhidmatan asas air, makanan, perubatan dan Internet untuk komunikasi semakin memburuk di Gaza.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Nurul Ain ke Gaza, Palestin mengikuti suaminya, Mohamed Adnan Shaat, 33, pada 1 Oktober lalu selepas enam tahun berkahwin.

Lebih pilu apabila Nurul Ain yang berasal dari Keramat, di sini, menyambut ulang tahun kelahiran dengan letupan bom pada 11 Oktober lalu.

"Ini pertama kali nak jumpa mentua dan suami pula putuskan nak pulang selepas sembilan tahun dia tak balik. Kemudian saya sambut hari jadi pada 11 Oktober dengan letupan bom.

"Tidak ada siapa pernah menjangka apa yang terjadi ini. Kami nak balik pun sebab ramai rakan suami yang pulang sebelum ini kata Gaza dah maju dan nak masuk tak sesukar dahulu. Tak ada pun rasa berat hati atau fikir yang bukan-bukan, kami positif saja," katanya.

Menurutnya, jika dibandingkan dengan peperangan yang berlaku pada 2014 di Gaza, kali ini lebih teruk.

"Dulu tak silap saya, dalam 51 hari keadaan (teruk) macam sekarang ini, tapi hanya dalam tempoh lebih seminggu dah macam 51 hari.

"Apa pun, saya reda. Alhamdulillah, jika ini destinasi terakhir kami. Ada hikmah apabila kami gagal untuk keluar dari Gaza sehari lepas dapat menjalankan amanah untuk edar barangan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 10:21 AM