GAMBAR kenangan Nurul Ain dan suami di Gaza. FOTO Ihsan Nurul Ain Haron
GAMBAR kenangan Nurul Ain dan suami di Gaza. FOTO Ihsan Nurul Ain Haron
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Hari ini masuk hari kelapan tiada bekalan air dan elektrik. Talian Internet pula tidak menentu.

"Sekarang saya di rumah mentua. Alhamdulillah semua selamat, cuma biras saya kehilangan 14 ahli keluarga sekali gus, tiga lagi selamat dan menjalani rawatan di hospital," kata warga Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, yang kini di Gaza, Palestin bersama suaminya, Mohamed Adnan Shaat, 33.

Nurul Ain berkata, dia dan suami kini berlindung di rumah mentua, Khan Younis sementara menunggu pintu sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza dibuka.

"Ramai yang rumah mereka sudah musnah dan terpaksa lari ke tempat lain untuk mencari perlindungan termasuk ke sekitar kejiranan mentua saya ini.

"Saya dan suami okay, setakat ini masih tunggu pintu sempadan Rafah dibuka untuk keluar. Belum pasti bila, tapi saya tunggu berita dari Kedutaan Mesir," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia ke Gaza bersama suami pada 1 Oktober lalu dan ini kali pertama dia pulang ke kampung halaman suaminya itu selepas enam tahun berkahwin.

Lebih pilu apabila Nurul Ain yang berasal dari Keramat, di sini, menyambut ulang tahun kelahiran dengan letupan bom pada 11 Oktober lalu.

"Ini pertama kali nak jumpa mentua dan suami pula putuskan nak pulang selepas sembilan tahun dia tak balik. Kemudian saya sambut hari jadi pada 11 Oktober dengan letupan bom.

"Tidak ada siapa pernah menjangka apa yang terjadi ini. Kami nak balik pun sebab ramai rakan suami yang pulang sebelum ini kata Gaza dah maju dan nak masuk tak sesukar dahulu. Tak ada pun rasa berat hati atau fikir yang bukan-bukan, kami positif saja," katanya.

Menurutnya, jika dibandingkan dengan peperangan yang berlaku pada 2014 di Gaza, kali ini lebih teruk.

"Dulu tak silap saya dalam 51 hari keadaan macam sekarang ini, tapi ini baru seminggu lebih dah macam 51 hari.

"Apa pun, saya reda. Alhamdulillah jika ini destinasi terakhir kami. Ada hikmah apabila kami gagal untuk keluar dari Gaza sehari lepas dapat menjalankan amanah untuk edar barangan bantuan," katanya.

Mengenai keadaan di Gaza ketika ini, setiap masa adalah tempoh berjaga-jaga terutama pada sebelah malam kerana bimbangkan serangan rejim Zionis.

"Kebanyakan penduduk di Gaza kini hanya bergantung pada bekalan makanan yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia.

"Bekalan makanan buat kami alhamdulillah, cuma bekalan makanan di kedai kekurangan stok. Saya dapat sumbangan dari Malaysia untuk sampaikan bantuan kepada mangsa pelarian lain," katanya.

Nurul Ain mengakui kekuatan dia dan suami di Gaza sekarang ini adalah keluarga dan berat bagi mereka untuk meninggalkan keluarga pada waktu genting begini.

"Tapi, dalam masa yang sama kami tidak akan lepaskan peluang untuk keluar kerana suami bekerja di Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menyara keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 1:25 PM