Nurul Hidayah Bahaudin


Sepang: "Pada mulanya, saya dan suami tak nak keluar tetapi keadaan di sana (Gaza) amat teruk, malah lebih teruk dari (konflik berlaku) pada 2014," kata rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron yang sebelum ini terperangkap dalam zon perang di Gaza.

Nurul Ain, 37, berkata, keputusan itu juga diambil kerana suaminya, Mohamed A M Shaat, 33, yang juga warga Palestin perlu bekerja untuk menyara keluarga dengan keadaan di Gaza semakin meruncing.

"Alhamdullilah saya dan suami selamat tiba di sini (Malaysia). Kali pertama, saya dan suami tak nak keluar (dari Gaza) kerana keluarga (suami) di sana.

"Namun, keadaan teruk yang luar biasa lebih dari 2014 menyebabkan kami kena keluar memandangkan suami perlu bekerja sebab nak sara keluarga.

"Situasi di sana tak mudah dan menyebabkan kami kena keluar," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Menceritakan mengenai pengalamannya berada di Gaza, Nurul Ain berkata, beliau menerima banyak sumbangan daripada orang ramai untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

NURUL Ain bersama suaminya ketika di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
NURUL Ain bersama suaminya ketika di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah

"Ada banyak yang bagi sumbangan semasa berada di sana, namun tiada stok makanan dan selimut (untuk diberikan).

"Lebih baik saya keluar dari Gaza supaya dapat ambil langkat seterusnya memandangkan pihak Israel juga sudah memutuskan sistem rangkaian pusat kiriman wang antarabangsa di sana menyebabkan kami tidak dapat mengeluarkan wang," katanya.

Beliau berkata, beliau menyaksikan pergaduhan untuk mendapatkan bekalan makanan di Gaza setiap hari yang situasinya tidak boleh digambarkan.

"Keadaan ini memerlukan kami mencari ikhtiar lain untuk hantar (sumbangan) termasuk memindahkan (wang) kepada pemborong di Dubai (bagi penyaluran bantuan).

"Saya tidak pernah putus harapan. Sukar saya gambarkan apa yang dirasa apabila ada dalam ahli keluarga (suami) syahid dengan rumah dibom lapan misil hingga muka (mayat) tak nampak," katanya.

Meskipun mengakui semangatnya menurun, namun Nurul Ain tetap meneruskan usaha menyalurkan bantuan di Gaza.

"Kini sudah sampai keadaan bekalan makanan pun orang berebut hendak dapatkan termasuk ketika nak beli roti kerana sudah tiada stok memandangkan kilang terbesar di Gaza dibom.

"Dari hari pertama hingga sudah sebulan lebih di sana tiada air dan elektrik. Saya bersyukur ahli keluarga suami masih dalam keadaan selamat. Kami serah keselamatan mereka dalam jagaan Allah SWT. Insya-Allah, mereka akan selamat," katanya.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada Duta Malaysia di Kaherah, Duta Malaysia di Qatar, pihak Wisma Putra dan Kementerian Luar Negeri yang membantu urusan perjalanannya pulang ke negara ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Nurul Ain dan suaminya selamat dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah pada Ahad (12 Nov), 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia).

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan sejurus selepas Nurul Ain dan suami tiba di Lintasan Sempadan Rafah, beliau telah dihubungi melalui panggilan video oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk bertanya khabar.

Evakuasi itu dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan di antara Perdana Menteri dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, semasa lawatan kerja beliau ke Mesir pada 23 Oktober lalu serta penyelarasan lanjut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 10:41 PM