GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Mahkamah Pilihan Raya hari ini membatalkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman.

Menurut kenyataan kepada media hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu merangkap Hakim Pilihan Raya, Anselm Charles Fernandis yang membenarkan petisyen pilihan raya oleh calon BN Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Hakim Anselm Charles menerima dakwaan pempetisyen di dalam Petisyen Pilihan Raya bahawa terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang telah diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15 untuk meraih undi kepada Che Alias.

Mahkamah mengarahkan kos RM30,000 untuk dibayar oleh Responden kepada Pempetisyen.

Sebelum ini pada 12 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen itu apabila membenarkan bantahan awal oleh Che Alias berhubung petisyen yang dikatakan mengandungi fakta cacat dan tidak sah bagi menyokong dakwaan rasuah semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun pada 2 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Wan Mohamad Hisham untuk mengembalikan semula petisyen berkenaan menjalani perbicaraan penuh.

Sebelum ini pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya turut membenarkan petisyen calon BN, Mohd Zubir Embong di Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Bagaimanapun pada PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos lalu, Amzad mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti lebih besar 47,266 undi, berbanding 40,907 undi pada PRU15.

Untuk rekod, pada PRU14 lalu, Ahmad Amzad menang dengan majoriti 14,773 undi selepas memperoleh 42,988 undi menewaskan calon dari BN, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail (28,215 undi) serta calon PH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (15,380 undi).

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU15, kerusi Parlimen Marang dimenangi presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Pada 27 Jun lalu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pempetisyen, Jasmira Othman gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

Hassan turut mengarahkan pempetisyen yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Marang pada PRU15, diwakili peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun, membayar kos RM50,000 kepada pihak Abdul Hadi.

Peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mewakili Abdul Hadi, berkata, pihaknya berpuas hati dengan keputusan berkenaan yang disifatkan wajar dan menyeluruh.

Selain itu Mahkamah Pilihan Raya turut menerima petisyen daripada Mohd Azmi Mahmood pada 3 Januari lalu yang merupakan pengundi mewakili Tengku Razaleigh Hamzah di Parlimen Gua Musang.

Bagaimanapun, pada 5 September lalu Mahkamah Tinggi Kota Bharu membatalkan petisyen pilihan raya dikemukakan Mohd Azmi selepas pempetisyen memecat semua peguam termasuk Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Pada 26 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu membatalkan petisyen difailkan Mohd Azmi selepas menerima semua tiga alasan dalam bantahan awal Azizi termasuk tarikh petisyen difailkan melebihi had masa yang ditetapkan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Bagaimanapun pada 19 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen berkenaan dibicarakan secara penuh selepas mendapati ada kekhilafan dalam keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Sementara itu, pada 18 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri M Ramasamy supaya petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Segamat dikembalikan kepada Mahkamah Pilihan Raya untuk satu perbicaraan penuh.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan memerintahkan petisyen itu didengar di hadapan hakim lain.

Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 3 April tahun ini yang menolak petisyen rayuan Ramasamy, selepas menerima bantahan awal dibangkitkan responden.

Responden yang dinamakan dalam petisyen itu ialah Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada PRU15 yang diadakan pada November tahun lalu, Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi mengalahkan Ramasamy (MIC-BN), P Poobalan daripada PN dan Syed Hairoul Faizey daripada Pejuang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 1:59 PM