Zatul Iffah Zolkiply dan Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini hari ini menerima petisyen yang difailkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zubir Embong untuk membatalkan kemenangan calon PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ia sekali gus membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim yang memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU-15 yang lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU-15.

Beliau berkata, walaupun pempetisyen tidak dikemukakan sebagai saksi, bukti-bukti lain mencukupi untuk mengisytiharkan kerusi bagi Parlimen Kuala Terengganu terbatal dan tidak sah mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar kos sebanyak RM50,000 kepada pihak pempestiyen.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan responden membuat rayuan dan memfailkan permohonan rasmi pergantungan responden sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Ahmad Amzad diwakili peguam, Wan Rohimi Wan Daud manakala peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Mohd Zubir.

Sementara itu, Mohd Hafarizam berkata, Hakim Mahkamah Pilihan Raya membuat dapatan wujudnya unsur rasuah sekiranya pemberian bantuan dibuat dalam tempoh waktu berkempen.

"Yang Arif dalam kes Kuala Terengganu juga telah membuat satu dapatan yang menyatakan minda pengundi yang menerima wang itu tidak releven tetapi yang penting ialah situasi yang mana pemberi itu memberi wang untuk meraih undi," katanya.

Dalam pada itu, Wan Rohimi berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan rasmi bagi pergantungan Ahmad Amzad sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

"Kita akan failkan permohonan rasmi, jadi hakim akan dengar (dan) dia akan putuskan pergantungan penuh atau tidak.

"Jadi kalau dia (Hakim) bagi pergantungan penuh, keputusan hari ini digantung (itu) tidak berkuat kuasa, jadi tidak akan ada pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan semua sekali," katanya.

Pada 3 Januari lalu, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dilapor berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov lepas, iaitu beberapa hari sebelum PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU-15 lalu, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas memperoleh 63,016 undi sekali gus menewaskan Mohd Zubir (22,109 undi), calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi) dan calon PH, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (10,946 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 5:57 PM