Exco Terengganu yang juga Adun Bukit Payung Mohd Nor Hamzah . FOTO NSTP.
Exco Terengganu yang juga Adun Bukit Payung Mohd Nor Hamzah . FOTO NSTP.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Mahkamah Pilihan Raya Terengganu, hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Waran itu kerana beliau gagal hadir untuk memberi keterangan bagi perbicaraan Petisyen Pilihan Raya Parlimen Marang.

Perintah dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung itu.

Hassan ketika prosiding kelmarin mengarahkan Mohd Nor hadir semula ke mahkamah hari ini untuk menyambung memberi keterangannya.

Bagaimanapun, Mohd Nor gagal untuk menghadirkan diri dan perbicaraan bagi petisyen pilihan raya Marang akan disambung pada 19 Mac.

Pada 12 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak bantahan awal yang dikemukakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk membatalkan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Marang yang difailkan calon Barisan Nasional.

Hassan kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 1:27 PM