Peguam yang mewakili ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bercakap kepada media semasa hadir pada  petisyen Pilihanraya Umum KE 15 (PRU) parlimen Marang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. FOTO GHAZALI KORI
Peguam yang mewakili ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bercakap kepada media semasa hadir pada petisyen Pilihanraya Umum KE 15 (PRU) parlimen Marang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply dan Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai ahli Parlimen Marang selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini hari ini menolak petisyen yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangan Presiden PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya membuat keputusan itu selepas pihak pempestiyen, Jasmira Othman gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

Hassan turut mengarahkan pempestiyen yang diwakili peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun membayar kos RM50,000 kepada pihak responden, Abdul Hadi.

Sementara itu peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mewakili Abdul Hadi berkata, pihaknya berpuas hati dengan keputusan berkenaan yang disifatkan wajar dan menyeluruh.

Katanya, seramai 10 orang saksi dipanggil bagi pihak pempetisyen dan tiga orang saksi bagi pihak responden.

"Konklusi yang dibuat Yang Arif Hakim (adalah) pempetisyen gagal membuktikan kes mereka pada tahap keraguan yang munasabah.

"Oleh sebab itu tidak ada, (jadi) beban itu tidak beralih kepada pihak responden untuk membuktikannya sebab gagal membuktikan satu kes prima facie.

"Kalau dalam kes jenayah itu, dia seperti tidak dipanggil bela diri tapi oleh kerana petisyen ini separa jenayah maka responden memberikan keterangan juga.

"Jadi keterangan responden itu meyakinkan (dan) diterima mahkamah maka petisyen itu tidak diterima," katanya ketika ditemui pemberita selepas keputusan petisyen berkenaan.

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU15 lalu, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH), Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang, Dr Zarawi Sulong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 5:21 PM