Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka kertas siasatan berhubung wujud unsur rasuah membabitkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya terlebih dulu perlu mendapatkan nota keterangan daripada Mahkamah Pilihan Raya Terengganu.

"Kita sudah membuka kertas siasatan, namun begitu ada sedikit kelewatan yang mana kita perlu mendapatkan nota keterangan daripada mahkamah.

"Perlu diingat, kes ini dibuat petisyen di mahkamah dan mahkamah yang putuskan.

"Jadi bila kita menyiasat, kita perlu memanggil saksi dan merakam percakapan. Segala proses penyiasatan dilakukan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas Program Cakna Rasuah SPRM bersama Media Zon Timur di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid; Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim dan Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain.

Azam berkata, pihaknya tahu ada sesetengah pihak mendakwa pihak penguat kuasa perlu menuduh mana-mana pihak berdasarkan keputusan yang dibuat.

"Jadi mahu menuduh, kami kena siapkan kertas siasatan dan kemukakan kepada Peguam Negara dan Peguam Negara akan tentukan ada keterangan atau tidak untuk dituduh di mahkamah," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas pihak pempetisyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU-15.

Pada 3 Januari lalu, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilapor berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November lalu, iaitu beberapa hari sebelum PRU-15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU-15 lalu, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas memperoleh 63,016 undi sekali gus menewaskan Mohd Zubir (22,109 undi), calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi) dan calon PH, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (10,946 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 6:35 PM