Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin Hassan.
BERNAMA

Kuala Terengganu: Pas tidak akan memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu yang membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu diambil selepas Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis mengesahkan dalam sesi pengurusan kes secara dalam talian hari ini bahawa keputusan hakim dalam kes Petisyen Kemaman adalah sama seperti keputusan dalam kes Petisyen Kuala Terengganu.

"Sehubungan itu Pas menunggu dan bersiap sedia untuk mengambil langkah selanjutnya berdasarkan ketetapan yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan daripada keputusan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membenarkan petisyen Barisan Nasional (BN) yang difailkan terhadap Che Alias, sekali gus membatalkan kemenangan yang dicapai Pas dalam PRU-15 di Parlimen Kemaman pada 19 November tahun lalu.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU-15 dan mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar RM30,000 kepada pempestiyen.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini memberitahu, parti itu memfailkan petisyen pada 3 Januari lalu, memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU-15 membabitkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Ahmad memaklumkan petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana pihaknya mendakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.

Pada PRU-15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas memperoleh 65,714 undi, menewaskan Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab. Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan), masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 2:37 PM