Oleh Nazdy

Kuala Berang: Walaupun menjangkau usia emas, nenek 14 cucu ini masih memiliki tenaga luar biasa apabila mampu memanjat pokok buah-buahan untuk memungut hasilnya sebelum dijual.

Minah Omar, 71, dari Kampung Sekayu di sini, berkata, setiap kali tiba musim duku, dia memanjat pokok berkenaan untuk memungut buahnya supaya lebih tahan lama.

Menurutnya, walaupun berusia senja, dia masih ada kudrat memanjat pokok yang mana kebiasaannya kerja itu dilakukan kaum Adam atau orang muda.

"Apabila tiba musim duku dan buah lain yang memerlukan dipetik dari pokok, perasaan ingin memanjat membuak-buak.

"Berbekalkan kain batik pada bahu, saya memanjat pokok duku untuk memungut buahnya," katanya yang masih aktif melakukan kerja kebun dan bercucuk tanam.

Menurutnya, ketika muda dia mengambil upah memanjat pokok duku dan sekarang hanya memanjat pokok milik sendiri.

Katanya, dia bersyukur kerana diberi kesihatan baik dan mampu memanjat untuk mendapatkan hasil selagi kudrat masih kuat.

"Anak melarang saya memanjat pokok kerana bimbang keselamatan memandangkan saya menjangkau usia emas.

"Namun, saya memaklumkan saya masih mampu memanjat pokok kerana pekerjaan itu dilakukan sejak remaja.

"Alhamdulillah, sepanjang melakukan kerja memanjat tiada kejadian tidak diingini berlaku dan ia perlu dilakukan secara cermat serta berhati-hati," katanya.

Katanya, selain memanjat, dia turut meredah hutan dan bukit apabila tiba musim buah perah di mana aktiviti itu dilakukan sendirian.

"Memanjat pokok duku hanya setinggi lima ke enam meter saja, namun bagi mendapatkan buah perah perlu berjalan lebih 10 kilometer pergi dan balik meredah hutan dan bukit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 8:00 AM
Minah Omar, 71, sedang memungut buah duku di atas pokok. FOTO NAZDY HARUN
Minah Omar, 71, sedang memungut buah duku di atas pokok. FOTO NAZDY HARUN