BUAH kuran dijemur sebelum dipasarkan.
BUAH kuran dijemur sebelum dipasarkan.
PEMANJAT Orang Asli menggunakan tali untuk mencantas dahan yang berbuah lebat.
PEMANJAT Orang Asli menggunakan tali untuk mencantas dahan yang berbuah lebat.
MAT Piah dibantu anaknya, Mohd Ayub meleraikan buah kuran.
MAT Piah dibantu anaknya, Mohd Ayub meleraikan buah kuran.
Teks dan gambar Ainal Marhaton Abd Ghani

Sukar untuk membezakan buah kuran dengan keranji kecuali individu yang memang arif dengan buah hutan itu.

Bagi pemetik buah hutan yang berpengalaman lebih 30 tahun, Mat Piah Jusoh, 57, kebiasaannya buah berkenaan lebih senang disebut buah keranji.

“Masyarakat kita sudah sinonim dengan keranji. Di mana saja ditemui, ia dipanggil buah keranji walaupun sebenar ia buah kuran.

“Sebenarnya kalau diamati, kulit buah kuran hitam dan nipis, isinya oren cerah dan gebu seperti baldu manakala bijinya coklat pekat dan rasanya masam-masam manis,” katanya ketika ditemui di Kampung Mentenang, Lubuk Paku, Maran, Pahang, baru-baru ini.

Mat Piah berkata, kulit buah keranji pula hitam pekat dan tebal, isinya juga oren pekat yang hampir kepada warna merah, manakala isinya masih ada rasa masam dan manis, tetapi tidak segebu buah kuran.

“Pokok keranji dan kuran di hutan negara ini kebanyakannya berusia mencecah 60 tahun dan paling muda lima tahun. Kebanyakan orang kini sinonim dengan keranji walaupun hakikatnya buah yang dilihat adalah kuran.

“Kebiasaannya hanya segelintir penduduk kampung tahu membezakan antara kuran dengan keranji,” katanya sambil menambah saiz buah kuran lebih kecil berbanding keranji.

Menurutnya, pokok kuran akan berbuah selepas berusia 16 tahun dan mampu menghasilkan buah sehingga 100 gantang atau lebih jika pokoknya mengalami tumbesaran yang sempurna walaupun di dalam hutan, manakala pokok kecil antara lima hingga enam gantang pada satu-satu musim.

“Biasanya pokok ini berbuah selepas musim buah-buahan (duku, langsat, dokong, manggis, rambutan dan durian) berakhir.

“Saya mula menjual buah keranji dan kuran pada usia belasan tahun selepas menetap di kampung ini sejak lebih 30 tahun lalu.

“Sekarang saya lebih banyak mengupah Orang Asli mencari buah kuran kerana faktor umur dan kesihatan. Remaja Orang Asli memang pakar memanjat pokok, malah mereka tidak gementar mencantas di hujung dahan,” katanya.

Menurutnya, kerja memangkas atau mencantas dahan yang berbuah lebat memerlukan kesabaran, kecekalan dan kemahiran kerana sedikit kelalaian boleh menyebabkan nyawa melayang.

“Kami tak bawa peralatan moden kecuali parang kerana perlu mengangkut guni atau bakul buah untuk dibawa pulang.

“Kerja memanjat pokok bukan senang kerana perlu berhati-hati. Saya tak guna tangga, sebaliknya memanjat menggunakan tali yang ‘dipancing’ sebelum dibelit atau diikat pada pokok tumpang yang digelar ‘sanggit’.

“Di kebun pula, saya tanam pokok ini bersebelahan pokok petai atau getah bagi memudahkan untuk memanjat dan mencantas dahan yang berbuah lebat,” katanya yang menanam hampir 30 pokok kuran.

Mat Piah berkata, walaupun nampak senang, kerja memanjat pokok kuran perlu dilakukan dengan berhati-hati bimbang terpijak dahan rapuh, selain memastikan dahan tidak tersangkut atau terjatuh di kawasan yang jauh kerana kedudukan muka buminya tidak rata.

“Semua perlu diambil kira. Rakan yang menunggu untuk mengutip dahan yang dicantas juga perlu berhati-hati bagi mengelak ditimpa dahan atau parang dibawa pemanjat jatuh tanpa sengaja.

“Bagaimanapun, sepanjang tempoh mengutip buah itu, saya dan rakan belum pernah cedera teruk kecuali melecet di kaki dan tangan,” katanya.

Menurutnya, buah kuran yang sudah direlai dijemur terlebih dahulu sebelum diasingkan ke dalam bakul simpanan.

“Buah ini perlu dijemur agar tahan sehingga tiga tahun. Ia tidak akan lembik atau busuk jika disimpan dengan betul.

“Kulitnya akan menjadi lebih keras dan isinya mung­kin sedikit nipis. Untuk pasaran tempatan, buah ini dijual antara RM5 hingga RM10 sebungkus. Buah ini lebih diminati orang dewasa atau warga emas berbanding remaja atau kanak-kanak.

“Selain dimakan begitu saja, buah ini boleh dijadikan kudapan iaitu isinya disira dengan gula terlebih dahulu. Walaupun rumit, hasilnya agak lumayan,” katanya yang turut menjual kuran bersira.

Mat Piah tidak bersendirian memetik buah kuran. Dia dibantu ahli keluarga termasuk isteri Selamah Awang Chik, 58, dan empat anak Normimi Asikin, 17, Mohd Zulkiffli, 21, Normala, 29, dan Mohd Ayub,32, yang turut membantunya berniaga di pasar pagi Maran.

“Semua anak membantu saya bermula dari merincih dan melerai sama ada di kebun atau di hutan sehingga buah kuran sampai ke tangan peraih dan pembeli.

“Anak-anak tak merungut bahkan seronok kerana kami dapat mengutip buah hutan yang jarang ditemui.

“Ada kalangan pengunjung pasar pagi di Maran tidak pernah melihat buah keranji dan ingin merasainya walaupun ada yang tidak dapat menikmatinya jika terkena buah masam,” katanya yang pernah mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menambah pengetahuan berkaitan pemasaran dan peningkatan hasil tani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 5:17 AM