Siti Rohana Idris


LELAKI ‘tersangkut’ kira-kira setengah jam di atas pokok duku setinggi lima meter kerana pengsan ketika memanjat pokok itu dalam kejadian di Kampung Jubakar Darat, Tumpat, 4.50 petang hari ini.

Eh Suk Ah Pelian, 34, dikatakan sedang memetik buah duku yang diupah peraih sebelum tiba-tiba pengsan.

Keadaan itu disedari rakannya yang juga individu yang mengupah mangsa memetik buah duku, Mohd Noor Awang Hamat, 60, yang terdengar suara mangsa seakan menjerit dari atas pokok.

“Saya menyangkakan dia bergurau, namun tidak lama kemudian suaranya senyap dan saya ternampak kakinya terkulai.

“Anak saudara mangsa dan seorang penduduk kampung yang turut berada di lokasi segera memanjat pokok duku itu dan bertindak membelit badan mangsa yang sudah tidak sedarkan diri bersama batang pokok bagi mengelakkannya jatuh sementara menunggu bantuan tiba.

“Mereka berdua turut membuat buaian di sebelah mangsa kerana bimbang tali yang membelit mangsa terungkai dan akan menyebabkannya terjatuh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor dihubungi bagi membantu mangsa.

Operasi menyelamatkan mangsa diketuai Ketua Balai Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail yang memanjat pokok duku itu bersama seorang lagi anggota.

Raja Arisan berkata, operasi menyelamat mengambil masa selama 20 minit bagi menurunkan mangsa menggunakan tali penyelamat.

“Ketika itu mangsa dalam keadaan separa sedar dan kelihatan bingung.

“Masa agak lama diambil kerana kami terpaksa merungkaikan tali yang membelit mangsa terlebih dahulu sebelum menurunkannya menggunakan tali penyelamat dan kain,” katanya.

Sementara itu, Eh Suk berkata, dia langsung tidak mengingati apa-apa yang berlaku dan hanya sedar ketika sudah diselamatkan dan diletakkan di atas wakaf.

“Saya pernah beberapa kali pitam sebelum ini, mungkin disebabkan kesan kemalangan jalan raya yang dialami 14 tahun lalu dan selepas ini saya akan lebih berhati-hati,” katanya yang tidak mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 8:19 PM
ANGGOTA dan penyelamat  Pengkalan Kubor bertungkus lumus menurunkan lelaki, Eh Suh Ah Pelian, 34 yang pengsan di atas pokok duku setinggi lima meter di Kampung Jubakar Darat. FOTO  Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA dan penyelamat Pengkalan Kubor bertungkus lumus menurunkan lelaki, Eh Suh Ah Pelian, 34 yang pengsan di atas pokok duku setinggi lima meter di Kampung Jubakar Darat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar