MOHD Syawal menunjukkan madu lebah tualang yang diperolehinya. FOTO Ihsan Mohd Syawal Nawawi
MOHD Syawal menunjukkan madu lebah tualang yang diperolehinya. FOTO Ihsan Mohd Syawal Nawawi
Nazdy Harun

Kuala Berang: Sekumpulan pencari madu lebah tualang mampu menjana pendapatan lumayan sehingga RM10,000 dalam tempoh tiga bulan musim memungut madu.

Mohd Syawal Nawawi, 30, dari Kampung Durian Bador dekat sini, berkata, madu lebah tualang dipungut secara bermusim iaitu antara Mei, Jun dan Julai sahaja.

Menurutnya, dia melakukan aktiviti memanjat pokok tualang untuk mendapatkan madu lebah sejak tujuh tahun lalu bersama enam lagi rakan.

Katanya, paling banyak madu pernah dibawa pulang iaitu sebanyak 400 kilogram (kg) sepanjang dia menceburi bidang mencari madu lebah tualang.

"Dalam kumpulan saya ini, hanya saya seorang saja akan memanjat pokok tualang yang mempunyai sarang lebah dengan ketinggian 30 hingga 40 meter.

"Namun, atas faktor keselamatan saya menggunakan tali keselamatan sebagai sokongan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya yang menjalankan kerja-kerja kampung sebagai rutin hakikinya.

Menurutnya, madu yang diperoleh dijual dengan harga RM100 setiap satu kilogram, manakala yang dibotolkan dijual dengan harga RM50 bagi 300 mililiter (ml) sebotol.

Katanya, sepanjang tiga bulan musim mencari madu lebah tualang kumpulannya biasa memperoleh hasil jualan antara RM8,000 hingga RM10,000 bergantung kepada madu yang berjaya dikumpul.

Mohd Syawal berkata, untuk mencari madu tualang bukannya satu kerja yang mudah kerana jarak perjalanan yang perlu ditempuh agak jauh selain perlu mendaki empat ke lima buah bukit.

"Biasanya kumpulan saya akan pergi ke lokasi pada sebelah pagi kira-kira jam 8 dengan meredah laluan berbukit dan selepas tiba di lokasi saya akan memanjat pokok yang mempunyai sarang lebah.

"Selepas hasil diperoleh kami akan bergerak pulang atau bermalam di hutan namun kebanyakannya kami memilih untuk pulang walaupun tiba di kampung pada awal pagi," katanya.

Menurutnya, kebiasaannya dia dan 'geng' lain akan mendaki Bukit Madung, Bukit Perayu, Bukit Mek dan bukit lain untuk mencari sarang lebah tualang.

Katanya, untuk mendapatkan sarang lebah kebiasaannya sebelum tiba musim memungut dia akan ke hutan untuk membuat pemantauan dengan menggunakan teknik mencari lebah yang terbang, memerhati arah lebah bergerak sebelum menjadikannya sebagai pedoman apabila ke lokasi itu buat kali kedua.

Menceritakan lebih lanjut, Mohd Syawal berkata, pulang dengan tangan kosong merupakan perkara biasa bagi dia dan rakan-rakan apabila tidak menemui sarang lebah seperti dihajati.

"Kalau ikutkan sememangnya letih kerana jarak perjalanan agak jauh dan mencabar namun kami menganggap ia adalah cabaran selain rezeki yang sudah tertulis.

"Kalau ditanya mengenai disengat lebah, ia perkara biasa bagi saya dan mujur tidak berlaku alahan pada sengatan lebah itu," katanya.

Menurutnya, dia memperoleh kemahiran memanjat pokok tualang untuk mendapatkan madu lebah daripada generasi tua di kampungnya yang sering diikuti untuk mendapatkan ilmu mencari dan mengambil sarang lebah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 3:02 PM