ENAM beranak yang disahkan maut. FOTO Ihsan Pembaca
ENAM beranak yang disahkan maut. FOTO Ihsan Pembaca
Ahmad Ismail


Segamat: Polis mengesahkan enam beranak maut dalam kemalangan di kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah lori membawa muatan pasir hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

Beliau berkata, kemalangan berlaku kira-kira 6.37 petang itu membabitkan lima kenderaan, iaitu sebuah Honda HRV, Proton Wira, Perodua Alza dan Perodua Bezza, selain lori membawa muatan pasir, berhampiran Loji Petronas.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda HRV yang bergerak dari arah Kuantan menghala ke arah Segamat memperlahankan kenderaan kerana di hadapannya terdapat kerja pembaikan jalan raya sebelum dirempuh lori pasir berkenaan dari arah belakang.

"Tiba-tiba sebuah lori yang membawa muatan pasir yang bergerak dari arah Kuantan menghala ke arah Segamat gagal membrek dan hilang kawalan lalu melanggar belakang Honda HRV terbabit dan Proton Wira yang sedang berhenti.

"Lori pasir berkenaan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh pula sebuah Perodua Alza dinaiki enam mangsa yang maut itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengesahkan mangsa yang maut akibat kemalangan itu adalah pemandu Perodua Alza, Amir Ruddin Ismail, 46, serta isterinya Norahimah Noor Muhamad, 43, selain anaknya Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Katanya, seorang lagi anak mangsa Abdullah, 15, dan pemandu lori dirawat di Hospital Segamat akibat parah di dada dan badan.

"Polis memohon saksi yang mempunyai maklumat menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Segamat (BSPTD) di talian 079325811 atau balai polis berhampiran," katanya yang turut memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesemua jenazah sudah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Segamat untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 8:44 AM