KEADAAN kemalangan membabitkan sebuah lori dengan lima kereta. FOTO ihsan bomba
KEADAAN kemalangan membabitkan sebuah lori dengan lima kereta. FOTO ihsan bomba
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Memandu di bawah pengaruh alkohol dipercayai punca sebuah lori terbabas ke laluan bertentangan sehingga merempuh lima kenderaan di Kilometer 19 Lebuhraya Pasir Gudang di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, pemandu berusia 37 tahun itu dalam perjalanan dari arah Pasir Gudang menghala ke Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan membabitkan lori jenis Scania dan lima kereta iaitu Perodua Myvi, Perodua Axia, Perodua Alza, Proton Waja dan Proton Wira.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori terbabit terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Alza iaitu lelaki berusia 21 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

"Pemandu Proton Waja iaitu lelaki berusia 46 tahun masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI). Pemandu lain yang tidak mengalami kecederaan hadir membuat laporan di Balai Polis Trafik Seri Alam," katanya.

Mohd Sohaimi berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

Beliau berkata, polis menahan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 2:07 PM