KEMALANGAN membabitkan lori tangki dengan bas henti-henti menyebabkan kematian Iswaran (gambar kecil). FOTO Ahmad Ismail
KEMALANGAN membabitkan lori tangki dengan bas henti-henti menyebabkan kematian Iswaran (gambar kecil). FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Segamat: Tidak mematuhi lampu isyarat merah menjadi punca nyawa kanak-kanak lelaki melayang dalam kemalangan maut di simpang empat lampu isyarat di Kilometer 138.3, Jalan Johor Bahru-Seremban di Bandar Chaah, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kemalangan membabitkan lori tangki dipandu lelaki berusia 62 tahun dengan sebuah bas henti-henti pada jam 7.30 pagi.

"Kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu lori yang datang dari arah Segamat menghala ke arah Johor Bahru.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu lori tangki itu dipercayai tidak mematuhi isyarat merah mengakibatkan pelanggaran di bahagian sebelah kanan bas yang menghala keluar dari simpang empat di bandar Chaah ke arah Segamat.

"Dalam kemalangan itu, penumpang bas yang juga kanak-kanak lelaki dikenali Iswaran Muniandi, 10, maut akibat kecederaan di kepala," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, hari ini.

Menurutnya, pemandu lori tangki turut mengalami kecederaan parah di kepala dan sedang menerima rawatan di bahagian kecemasan Hospital Daerah Segamat (HDS).

"Pemandu bas berusia 59 tahun turut mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta dirawat di HDS bersama dua penumpang wanita berusia 23 dan 49 tahun," katanya.

Ahmad Zamry berkata, kedua-dua penumpang wanita itu patah kaki yang mana salah seorangnya adalah ibu kepada Iswaran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis memohon saksi awam menyalurkan maklumat kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Segamat (BSPTD) di talian 07-9325811 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 3:43 PM