GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Individu yang ingin mendapatkan lesen kereta atau motosikal hanya perlu menduduki satu ujian teori sahaja, berkuat kuasa 15 September ini.

Peraturan ini dijangka memanfaatkan orang ramai kerana mereka tidak perlu lagi menduduki satu lagi kelas enam jam untuk dapatkan lesen lain.

Langkah itu dijangka memberi penjimatan sebanyak RM100 kepada orang ramai.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, mengikut peraturan sedia ada, sesiapa yang ingin memperoleh lesen motosikal dan lesen kereta secara berasingan perlu menduduki dua ujian teori.

Katanya, ketetapan baharu mengenai bahagian pembelajaran iaitu Kursus Teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) itu untuk memudahkan pengambilan Lesen Memandu Malaysia, khususnya kepada golongan muda.

"Berkuat kuasa 15 September 2023, mana-mana individu yang pada masa ini mempunyai sama ada Lesen Memandu Malaysia kelas motosikal atau motokar dan berhasratkan Lesen Memandu Malaysia dalam kelas yang berbeza, dikecualikan daripada menghadiri Kursus KPP01 dan Ujian Teori KPP01.

"Sebagai contoh, seseorang yang sudah lulus ujian KPP01 (Teori) dalam lesen memandu motosikal tidak perlu menduduki KPP01 untuk kali kedua apabila mengambil lesen memandu motokar," katanya pada sidang media, hari ini.

Loke bagaimanapun berkata, calon masih wajib menjalani latihan dan menduduki ujian praktikal di Litar (KPP02) dan Praktikal di Jalan Raya (KPP03) secara berasingan apabila mengambil Lesen Memandu Malaysia motosikal dan motokar.

Jelasnya, individu terbabit hanya perlu memperbaharui semula Lesen Belajar Memandu (LDL) dan seterusnya mendaftar di institut memandu untuk melengkapkan latihan serta ujian di peringkat KPP02 dan KPP03 dan syarat kelayakan umur bagi motosikal kekal pada usia 16 tahun ke atas, manakala bagi motokar pada usia 17 tahun.

"Kementerian menjangka dengan pelaksanaan dasar baharu ini, ia dapat membantu menjimatkan kos pengambilan Lesen Memandu Malaysia sebanyak RM100," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 4:32 PM