ANTHONY Loke (dua kiri) ketika sidang media di Kementerian Pengankutan. Turut kelihatan Ketua Setiausahah Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan (kiri). FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANTHONY Loke (dua kiri) ketika sidang media di Kementerian Pengankutan. Turut kelihatan Ketua Setiausahah Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan (kiri). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Putrajaya: Kementerian Pengangkutan mengumumkan dua penambahbaikan bagi prosedur Lesen Vokasional yang terdiri daripada kategori Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penambahbaikan itu adalah pemansuhan ujian teori untuk semua Lesen Vokasional dan kelas teori boleh dilaksanakan secara dalam talian.

Katanya, dengan pemansuhan ujian teori bagi pengambilan PSV dan GDL, mereka hanya perlu menduduki dan melengkapkan kelas teori sedia ada sahaja.

"Namun, calon bagi kategori Lesen PSV untuk bas dan GDL untuk lori bersendi masih wajib melalui latihan dan lulus ujian amali atau praktikal sebelum mendapat Lesen Vokasional," katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.

Bagi kelas teori dalam talian untuk Lesen Vokasional, Loke berkata, perkara itu adalah selaras dengan hasrat pendigitalan pihak kementerian.

"Pelaksanaan kelas teori bagi semua kategori Lesen Vokasional juga akan dibenarkan secara dalam talian, sama ada menerusi platform disediakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), institut memandu (IM) atau syarikat perniagaan pengantaraan berkelayakan yang telah dikawalselia oleh JPJ.

"Tempoh masa kelas teori sedia ada adalah dikekalkan.

"Mana-mana pihak IM atau syarikat perniagaan pengantaraan hendaklah menggunakan modul atau silibus pengajaran kelas teori Lesen Vokasional dalam talian yang ditetapkan oleh JPJ sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, JPJ akan menetapkan syarat-syarat dan peraturan berkaitan kelayakan penyediaan platform dalam talian dan mengawal selia kelas teori bagi memastikan kesahihan dan integriti calon.

Katanya, data dan maklumat kehadiran calon akan diintegrasi dengan MySIKAP bagi membolehkan Lesen Vokasional dikeluarkan secara terus kepada calon tanpa memerlukan kehadiran secara fizikal ke kaunter JPJ.

Loke berkata, silibus kelas teori bagi semua kategori Lesen Vokasional terutamanya melibatkan perkhidmatan e-hailing atau teksi akan disemak semula dan ditambahbaik oleh JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

"Ia dengan mendapatkan input daripada pihak industri agar relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan.

"Penambahbaikan silibus akan dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 12:12 PM