BAKAL terbang ke Indonesia dan Paris untuk tujuan kerja.
BAKAL terbang ke Indonesia dan Paris untuk tujuan kerja.
Georgie Joseph

Lazimnya keghairahan mengatasi prinsip diri tatkala seseorang pelakon meniti puncak kerjaya demi puaskan hati ramai pihak. Ada sanggup tolak tepi keselesaan diri dan hanya menurut perintah.

Namun buat Anna Jobling, 22, atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, prinsip diri akan dia dahulukan sebelum menerima tawaran.

Dia ingin sentiasa teguh mempertahankannya.

Justeru, baginya amat mustahak untuk adakan perbincangan secara menyeluruh sebelum dia setuju berlakon sesebuah projek.

Baik di Malaysia mahupun di luar negara, prinsipnya takkan berubah.

"Saya masih ada had sendiri berhubung lakonan. Contohnya di sini sendiri, kalau saya tak suka, saya takkan buat. Saya berdiri atas prinsip sendiri.

"Paling bagus, mesti kena bincang dahulu sebelum masuk set (penggambaran). Takut kalau saya tak cakap awal-awal, nanti akan jadi masalah di set nanti," katanya.

Prinsip itu termasuk perihal menjayakan watak yang perlu dedahkan bahagian tubuh.

Menurutnya, dia akan cuba elak sedaya upaya jika ditawarkan babak sebegitu dan ikut kesesuaian juga.

"Tengok macam mana juga. Memang saya tak nak buat, tapi kalau boleh elak, kalau berkemban dan ditutupi tuala, sekurang-kurangnya masih boleh dipertimbangkan," katanya.

Semakin meniti kencang namanya di Indonesia, anak jati Melaka itu berkongsi dia juga terpaksa menolak dua tawaran dari seberang pada tahun ini.

Keputusan itu tidak lain kerana Anna mahu memberikan sepenuh hati kepada komitmen menjayakan penggambaran drama fenomena lakonannya, Melur Untuk Firdaus 2.

"Saya terpaksa tolak dua tawaran dari sana. Sebuah filem dan mini siri. Ini disebabkan saya perlu fokus kepada Melur saja dulu untuk habiskan penggambarannya.

"Kalau bukan kerana Melur, saya takkan berada di tahap sekarang, nama saya takkan dikenali di Indonesia. Jadi saya fokus 100 peratus kat Melur sebab peminat kerana tanpa mereka ada di sini," katanya.

Jika ditakdirkan ada lagi rezekinya berlakon di Indonesia, Anna berharap akan dapat terbabit filem seram. Bahkan takkan memilih watak termasuk kena jadi hodoh asalkan dapat berlakon genre impiannnya itu.

ANNA idam berlakon filem seram Indonesia
ANNA idam berlakon filem seram Indonesia

"Terus-terang, antara genre kegemaran saya adalah cerita seram Indonesia. Contohnya filem Sebelum Iblis Menjemput, Pengabdi Syaitan, memang saya suka sangat sebab menakutkan.

"Itu adalah sasaran besar saya suatu hari nanti untuk berlakon filem paling seram di Indonesia. Kalau jadi watak hantu pun tak kisah. Kalau dihodohkan pun, saya tak kisah," katanya.

Dalam pada itu, Anna juga akan mengambil cuti rehat daripada berlakon sepanjang April dan Mei. Katanya, dia masih bekerja namun untuk hal-hal lain yang kebanyakannya dilakukan di luar negara.

"Sekejap saja. Saya tak boleh berehat lama, kalau tidak nanti bosan di rumah. Saya nak rehat sekejap kerana sejak dua tahun lalu, saya tak berhenti jalani penggambaran drama.

"Jadi, saya ambil sebulan saja itupun saya rancang nak melancong untuk kerja dan ceburi perniagaan sedikit. Tapi bulan Jun nanti, saya akan kembali berlakon semulalah.

"Saya akan pergi ke Pulau Bintan untuk kerja membabitkan sebuah jenama, ke Jakarta jumpa beberapa penerbit, klien, penggambaran komersial. Saya juga ke Paris untuk tujuan kerja," katanya.

Tak kisah dapat watak tambahan

Berkongsi lanjut populariti dikecapnya di Indonesia, Anna tidak berhajat mendahulukan tawaran dari negara itu.

Menurutnya dia bersyukur dapat nama di sana dan ingin jaga hal itu sebaiknya.

Anna pun sudah bersedia untuk bermula dari bawah termasuk sekadar jayakan watak tambahan untuk sebarang projek dari seberang.

"Terharu dan bersyukur kerana bukan senang artis Malaysia nak ke negara seberang. Untuk saya, bagi mengekalkan impak itu, kena fikir apa lagi saya perlu buat demi jaga nama di sana.

"Saya tak kisah bermula dengan tawaran kecil kalau di Indonesia. Ini disebabkan, saya masih lagi terlalu 'bayi' di sana. Bahasa mereka pun agak susah sedikit untuk saya kuasai. Kalau dapat watak tambahan pun saya okay.

"Harapnya, saya akan terus kerap ke sana, tawaran berterusan, atau mula berlakon di sana. Di Malaysia pun saya bermula sebagai watak tambahan, pembantu, kemudian utama," katanya.

BERAYA ringkas di Melaka tahun ini.
BERAYA ringkas di Melaka tahun ini.

Dengan kegilaan peminat terhadapnya sekarang, Anna juga enggan menolak permintaan mereka sebaiknya. Terutama kalau peminat ingin bergambar, dia sentiasa alu-alukan.

"Kalau nak bergambar, saya lebih suka peminat datang saja kepada saya dan sapa hai. Saya memang akan sentiasa cakap ya tak kisahlah dalam keadaan apa.

"Itulah kehidupan saya sekarang, sudah sangat umum dan tak boleh elak. Kadang-kadang saya perasaan orang ambil gambar, saya layan saja dengan selamba," katanya.

Anna juga percaya layanan terhadap peminat kunci terbaik untuk sentiasa buatkan mereka lebih dekat padanya. Dia mahu dedikasikan masanya melayan mereka meski dalam pertemuan singkat sekalipun.

"Saya perlu berikan yang terbaik untuk melayan mereka sebab datang dari jauh. Sebab kalau saya borak sekejap, bergambar dengan mereka, pastinya cukup berharga buat mereka.

"Walaupun tak dapat lepak lama dengan mereka sangat, tapi untuk mereka itu sudah ibarat segalanya. Bukan selalu dapat jumpa mereka, jadi kalau jumpa semestinya saya kena betul-betul beri perhatian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 7:00 AM