ROSMARAYU (tiga dari kiri) bersama Datuk Yusof Haslam yang dianggap gurunya.
ROSMARAYU (tiga dari kiri) bersama Datuk Yusof Haslam yang dianggap gurunya.
Ridzuan Abdul Rahman


SYARIKAT produksi D'Ayu Pictures menolak pelakon yang bermasalah dan terbabit dengan isu moral membintangi filem terbitannya.

Pemiliknya, Datuk Rosmarayu Mokhtar berkata, penerbitan filem berisiko tinggi kerana perlu dijual kepada penonton berbanding drama TV yang ditayangkan secara percuma.

"Kalau buat drama jual kat TV, stesen yang akan bayar. Tapi kalau filem, saya takut penonton tak datang. Jadi, macam mana nak ambil (pelakon bermasalah) ini berlakon.

"Perkara ini penting dan perlu dilihat secara mendalam. Nanti netizen boikot filem saya sedangkan saya dah banyak keluarkan wang buat filem. Rugilah saya.

"Saya akan nilai dari sudut kontroversi dulu sebelum fikir aspek bakat. Saya takut terjejas filem tak laku dan akhirnya syarikat saya ditutup," katanya ditemui pada majlis Rumah Terbuka anjurannya di Country Heights, Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Menurutnya, dia akan bertindak merujuk kepada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan orang lama seperti Datuk Yusof Haslam yang dianggap gurunya sebelum mengambil seseorang pelakon berlakon dengan produksinya.

Dalam perkembangan berkaitan, D' Ayu Pictures yang sebelumnya pengedar filem, kini aktif menerbitkan filem sendiri.

"Kami dah buat filem Perjalanan Pertama (usahasama Malaysia Indonesia), Daddyku Gangster, Harum Malam (terbitan bersama Apparat dan Skop), Waruga, Kutukan Ilmu Hitam, Anak Medan dan Sajen Satu Suro (dua filem Indonesia sedang proses suntingan hasil kerjasama dengan syarikat produksi di sana).

"Saya dah buka syarikat produksi di Indonesia iaitu D Ayu InternationalCompany (DIC). Filem kita tak boleh masuk ke sana tapi saya cuba cari rakan kongsi di Indonesia dan buka pejabat di sana.

"Kami dalam peringkat pra-produksi filem genre seram berjudul Bayi Terakhir. Ia menggabungkan pelakon Malaysia dan Indonesia. Ada dua pelakon Malaysia dan saya sedang nak melamar mereka.

ROSMARAYU melayan peminat yang hadir.
ROSMARAYU melayan peminat yang hadir.

"Tak boleh umumkan terlalu awal kerana nanti mereka akan 'demand' harga. Pengarahnya juga dah dikenal pasti dari Indonesia. Penggambaran dijangka Ogos ini," katanya.

Rosmarayu kini berada di Perancis bagi menyertai Festival Filem Cannes yang sedang berlangsung sekarang.

"Saya berhasrat nak bawa filem kita ke luar negara. Ada 38 filem tempatan yang saya bawa bersama untuk diketengahkan di sana," katanya.

Sementara itu, Rumah Terbuka anjuran Rosmarayu yang berlangsung dari jam 12.30 tengahari sehingga jam 6 petang dihadiri lebih 600 penggiat seni.

"Sebenarnya dah lima tahun saya tak buat majlis begini. Kebetulan rumah ini dikira baru siap, jadi saya buatkan kenduri sekali dengan Rumah Terbuka.

ROSMARAYU bersama Presiden Seniman, Zed Zaidi dan jemputan lain.
ROSMARAYU bersama Presiden Seniman, Zed Zaidi dan jemputan lain.

"Saya juga ambil kesempatan beri sumbangan kepada 30 penggiat seni veteran yang kurang dapat tawaran berlakon. Saya kasihan mendengar rintihan mereka yang tiada tawaran.

"Saya rasa kasihan dan suruh Presiden Seniman, Zed Zaidi kumpulkan beberapa nama untuk beri bantuan. Kalau saya ada produksi drama, dah lama saya ambil mereka berlakon.

"Mereka antaranya Nor Azifah, Emma Akma, Datin Fadilah Mansor, Hamidah Wahab, Zuraini Kassim, Rahim Kidol, Rozie Othman, Shaharudin Tambi, Fazli Zainal, Rashidah Jaafar, Chef Yang Jamil dan ramai lagi," katanya.

Artis sensasi Bella Astillah turut diundang menyampaikan lagu bagi menghiburkan tetamu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 6:31 AM