TIADA masalah membentuk keserasian dengan pelakon lain di lokasi Jangan Pandang Belakang 2.
TIADA masalah membentuk keserasian dengan pelakon lain di lokasi Jangan Pandang Belakang 2.
Ridzuan Abdul Rahman


SEBAGAI pelakon, Iedil Putra sentiasa bersedia membawakan pelbagai watak diberikan. Dia akan melakukan kerja rumah bagi memastikan watak yang dibawa memberi kesan terhadap penonton.

Justeru, Iedil atau nama sebenarnya Tengku Iedilzuhrie Putra Tengku Alaudin, 40, bersikap cerewet memilih skrip dan produksi kerana tidak mahu menjejaskan namanya di kemudian hari.

"Sebagai pelakon, saya kena tengok skrip dan tenaga produksi. Juga adakah watak yang diberikan itu sesuai dengan saya? Perkara ini sepatutnya menjadi kebiasaan untuk semua pelakon

"Tak boleh tangkap muat juga kerana saya tak nak apabila penggambaran bermula, akan berlaku pelbagai drama di set nanti. Selain itu, jadual juga mainkan peranan sebelum saya terima sesuatu tawaran," katanya.

Pelakon filem La Luna ini mengakui lakonan menjadi minatnya sejak dulu, namun kadangkala agak hairan apabila tidak ramai penerbit menawarkan peluang untuknya berlakon.

"Memang banyak penerbit tak tawarkan. Tak dinafikan ramai yang tanya saya kenapa tak keluar di TV. Saya pun tak faham sedangkan saya okey saja nak buat drama.

"Mungkin sebab orang nampak lakonan saya dalam filem sebelum ini agak berat, jadi mereka sangka saya hanya suka dengan genre sebegitu.

"Hakikatnya saya buat juga filem komersial Malbatt: Misi Bakara dan banyak lagi. Di Indonesia pun saya buat filem komersial, tidak nak kata saya pilih filem 'art' atau tertentu saja," katanya.

Iedil berkata, dia tidak faham mengapa ada stigma begitu terhadapnya sehingga kini.

"Kalau nak dikatakan saya banyak berlakon watak serius, saya akui perkara ini. Tapi, ada juga saya buat genre yang lain.

"Saya pernah buat teater komedi muzikal, tapi orang tak tahu. Malah saya juga terbabit dalam teater Ola Bola The Musical di Istana Budaya sebelum ini," katanya.

Iedil yang mengahwini pelakon Indonesia, Prisia Nasution pada 2016 memaklumkan perkahwinannya kini memasuki usia lapan tahun dan sepanjang tempoh itu juga, dia memilih menetap di Indonesia.

"Saya juga buka produksi dengan isteri di sana. Tahun ini kami ada beberapa projek filem dan siri yang akan diarah bersama. Selain berlakon, kami sendiri bekerja di belakang tabir.

"Selain itu, kami ada kafe yang turut merangkap sebagai pejabat. Ia jadi tempat karyawan filem sana berkumpul dan berbincang berkenaan seni.

"Apabila ada tawaran berlakon di Malaysia, saya akan ambil dan buat keputusan pulang dalam tempoh tiga hingga empat bulan untuk penggambaran," katanya.

Bintangi Jangan Pandang Belakang 2

Iedil kini pulang ke Malaysia untuk membintangi sekuel filem seram Jangan Pandang Belakang 2 arahan Pierre Andre terbitan Metrowealth International Group (MIG).

"Saya bawa watak Doktor Azim yang merawat Mak Lang (Khatijah Tan) di rumah Orang-Orang Tua Kasih Permata. Salah satu tarikan saya terima tawaran filem ini ialah Pierre sendiri.

"Kita tahu dia dah lama menghilang, tiba-tiba saja muncul untuk jadi pengarah filem ini. Waktu saya ditawarkan berlakon pun mulanya saya tanya siapa pengarah.

"Mereka maklumkan Pierre dan saya sangat teruja kerana dia muncul semula. Kita tahu Pierre terkenal dengan filem seram dia. Kita boleh cakap dia ada sentuhan tersendiri dalam filem seram," katanya.

Menurutnya, dia teruja untuk berlakon dan bekerjasama dengan Pierre buat kali pertama.

"Kita tahu Jangan Pandang Belakang dulu mencipta fenomena pada 2007 dan pernah tercalon dalam Festival Filem Malaysia juga. Jadi, kita nak tengok sekuelnya macamana bentuknya pada 2024.

"Kerja dengan Pierre sangat seronok. Dulu saya hanya dengar cerita kawan-kawan. Dia sangat dedikasi dan tenang waktu mengarah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 6:00 AM