MIMI akui ada rasa bimbang sebelum datang Malaysia, namun terkejut apabila diserbu peminat di KLCC
MIMI akui ada rasa bimbang sebelum datang Malaysia, namun terkejut apabila diserbu peminat di KLCC
Syafil Syazwan Jefri


"SAHUR! SAHUR!". Itu sudah menjadi 'trademark' besar buat pempengaruh dari Indonesia, Mimi Peri yang kini bergelar pelakon dalam filem komedi terbaharu, Mat Tudung Begins.

Mimi atau nama sebenarnya Ahmad Jaelani yang berasal dari Kendari, Sulawesi, Indonesia baru-baru ini hadir ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan filem lakonannya itu.

Bagi pelakon berusia 35 tahun itu, pembabitannya dalam filem arahan Datuk Fizz Fairuz itu adalah peluang besar buatnya.

"Saya rasa sangat bersyukur dengan tawaran berlakon dalam filem ini. Ini adalah pengalaman baharu buat saya untuk terbabit dalam karya filem yang saya dapat gambarkan sebagai filem untuk Malaysia dan Indonesia.

"Ini umpama satu impian yang tak pernah saya mimpikan. Awalnya saya fikir tak mungkin seorang Mimi Peri akan mendapat peluang sebegini.

"Di Indonesia, saya pernah berlakon dalam sinetron dan filem juga. Namun, pengalaman kali ini berbeza kerana di luar negara. Jadi, rasa sangat seronok," katanya.

Menurut Mimi, perkenalannya dengan pasangan Fizz dan isteri, Datin Almy Nadia pada 2019 membuka lembaran baharu buat pintu rezekinya.

"Memang impian saya adalah untuk menjadi orang terkenal dan berlakon filem. Ia dikabulkan Allah melalui Fizz. Pertama kali saya mengenali Fizz dan Almy adalah menerusi siaran langsung di Instagram pada 2019.

"Bulan depan saya akan muncul dalam satu lagi filem di Indonesia. Kalau ada tawaran filem lagi, saya nak cuba untuk terbabit sama kerana saya nak menimba pengalaman baharu.

"Kalau boleh, saya nak cuba watak dalam filem seram. Mungkin watak sebagai hantu. Tapi, apa juga watak yang diberikan pengarah, saya akan cuba," katanya.

Berkongsi pengalamannya ketika berada di Kuala Lumpur, Mimi berkata, dia tidak pernah menyangka bahawa namanya dikenali di sini dan ada peminat.

"Ketika di Kuala Lumpur, saya ke KLCC dan pusat beli-belah. Memang terkejut juga apabila ada peminat yang ingin bergambar dengan saya.

"Saya tak pernah ke luar negara sebelum ini. Jadi, saya tak dapat tidur nyenyak selama sebulan kerana berfikir bagaimana keadaan di Malaysia.

"Saya tak ada pasport, jadi Fizz cadangkan supaya saya buat pasport. Saya minta izin ibu dan berkat doa ibu, saya di sini hari ini.

"Ibu pesan supaya saya berhati-hati. Dia tak dapat ikut sama kerana sudah terlalu tua dan cepat penat. Jadi, demi kesihatannya, dia tak dapat hadir bersama," katanya.

Selain Mimi, Mat Tudung Begins yang ditayangkan sejak Selasa lalu turut dibintangi Fizz, Achey, Isyariana, Kazar, Maryam Durian Kimchi dan Abang Gee.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 6:20 AM