ENGGAN terburu-buru menempa nama sebaliknya mahu kualiti lakonan jadi sandaran.
ENGGAN terburu-buru menempa nama sebaliknya mahu kualiti lakonan jadi sandaran.
Oleh Georgie Joseph


KESUNGGUHAN pelakon Adriana Adnan, 27, mencipta nama dalam layar perak kini semakin terserlah. Satu demi satu tangga dinaiki bagi membina profil yang cukup kukuh serta mengaut pelbagai tawaran.

Usaha Adriana tampak membuahkan hasil selepas menjadi bintang utama siri Seribu Nina yang ditayangkan di platform penstriman Viu.

Jelas, peluang itu membuka mata lebih ramai terhadap lakonannya.

Ia sekali gus memberi kelegaan terhadapnya apatah lagi misi berjaya dalam lakonan masih jauh.

Baginya, dia enggan terburu-buru menempa nama sebaliknya biarkan kualiti lakonannya jadi sandaran.

"Selama ini saya kerap diberikan tawaran watak pembantu. Memang bersyukur sangat kerana tawaran sebegitu yang membuka jalan untuk bakat saya menarik perhatian ramai.

"Jadi, apabila jadi watak utama dalam Seribu Nina, ia rezeki keemasan yang begitu bermakna. Semestinya ia memberi keyakinan baharu dalam diri bahawa saya boleh lakukan lebih baik," katanya.

Adriana berpegang kepada prinsip setiap peluang yang datang perlu lebih baik daripada sebelumnya. Dengan cara itu, pola kenaikan kariernya lebih nampak dan jadi penanda aras.

Disebabkan itu, dia berharap tawaran watak utama akan terus datang padanya. Bukan membuat permintaan tinggi, tapi baginya sekarang dia mencari ruang untuk jadi lebih memilih demi cabaran watak.

"Saya sentiasa ingin buktikan bahawa saya mampu membawa banyak jenis watak sekali pun sangat mencabar. Itu yang saya cari sebagai pelakon berkaliber dan sentiasa pergi jauh.

"Syukur sangat, saya dapat membuktikan hal itu dalam Seribu Nina di mana lapan watak sekali gus saya jayakan. Itu satu permulaan serta 'resume' penting untuk saya lebih memilih dengan watak akan datang pula.

"Memang saya kini mengidamkan lebih banyak watak utama kerana nak sangat jadi teraju yang mampu tinggalkan kesan. Lagipun, sekarang masanya saya perlu beralih ke fasa lebih jauh dalam karier," katanya.

Bagaimanapun, Adriana tidak berniat untuk ketepikan tawaran watak pembantu begitu saja. Sebaliknya, hal terpenting adalah kepuasan dirinya memegang watak yang mampu tinggalkan kesan mendalam.

"Sebenarnya bergantung kepada kekuatan sesebuah watak juga. Saya tak kisah kalau diberikan watak bukan utama, tapi pengakhirannya watak itu diingati secara luar biasa.

ADRIANA bersyukur terus terima tawaran berlakon.
ADRIANA bersyukur terus terima tawaran berlakon.

"Ini kerana, saya melihat prospek ke mana sesebuah watak itu akan membawa kebolehan saya. Biar watak jahat pun, asalkan impak ditinggalkan buat orang tahu itu saya," katanya.

Apa pun, Adriana takkan pernah bermegah dengan pencapaian diraih setakat sekarang. Sebaliknya, dia berazam terus melipatgandakan kerja kerasnya untuk tampil sebagai pelakon disegani.

"Baharu memulakan lakonan beberapa tahun lalu, banyak lagi saya perlu perbaiki terutama lakonan. Setiap hari adalah proses belajar bagi saya dan enggan selesa pada tahap tertentu saja," katanya.

IDAM KE INDONESIA, KOREA SELATAN

Bukan setakat melakar nama di Malaysia, Adriana dahaga peluang untuk dapat berlakon di luar negara suatu hari nanti. Paling diidamkan adalah peluang berlakon di Korea Selatan.

Bahkan, dia sendiri sudah mula pandai bertutur bahasa Korea selepas mempelajarinya sekitar dua tahun lalu.

Pernah melawat stesen TV di negara itu, dia harap selepas ini dapat peluang berlakon di sana pula.

"Saya minat sangat dengan industri lakonan Korea Selatan. Bagi saya, setiap produk yang mereka sajikan sangat cerdik manakala idea pun segar.

"Disebabkan itu saya teringin sangat kalau suatu hari nanti mungkin dapat peluang berlakon di sana. Saya juga sudah belajar dan semakin faham bahasa mereka.

"Sejujurnya, saya terbuka saja sekarang ini kalau tiba-tiba peluang itu datang secepat mungkin. Saya ada mencari juga ejen yang boleh membawa saya ke sana untuk cuba nasib," katanya.

Namun, Adriana percaya mengembangkan karier di negara serantau juga antara impian penting. Misalnya di negara jiran Indonesia, dia sedia cuba pasaran di sana.

"Kalau ada peluang, mesti tak lepaskan. Lagipun Indonesia pun tak jauh sangat dan mudah untuk saya berulang-alik ke Malaysia kalau misalnya dapat tawaran berlakon di sana," katanya.

Hos program Hlive itu juga seronok apabila kerjaya seninya kini tidak terhad dalam bidang pengacaraan semata-mata. Masih mencintai bidang itu, dia harap sisi berbezanya akan sentiasa terserlah.

"Menjadi wartawan dan pengacara menuntut saya jadi sentiasa tampilkan sisi serius. Manakala, sebagai pelakon, banyak watak lain yang saya boleh teroka dan tunjukkan kepada penonton," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 6:00 AM