CHON Siang (dua dari kiri) mula menyelamatkan mangsa sindiket pekerjaan sejak April tahun lalu.
CHON Siang (dua dari kiri) mula menyelamatkan mangsa sindiket pekerjaan sejak April tahun lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Prihatin dengan nasib menimpa mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Sim Chon Siang untuk tampil membantu menyelamatkan mereka.

Menceritakan pengalamannya terbabit dalam usaha murni itu, Chon Siang berkata, beliau mula menyelamatkan mangsa pada April tahun lalu selepas menerima permohonan bantuan daripada ibu bapa mangsa yang mahu membawa balik anak mereka.

"Bermula dari itu, saya menyelamat mangsa membabitkan 22 kali perjalanan ke Bangkok, Thailand dan tujuh kali ke Kemboja.

"Jujurnya, saya tanggung perbelanjaan gunakan wang sendiri RM200,000 untuk menampung perjalanan dan lain-lain kos sepanjang di luar negara bagi tempoh April 2022 hingga Mac lalu.

"Sepanjang tempoh hampir setahun menjalankan usaha ini, saya menyelamatkan 96 individu tempatan menjadi mangsa sindiket ini," katanya kepada Harian Metro.

Chon Siang berkata, bagi menjalankan usaha itu, beliau membuat kajian mengenai senario penipuan tawaran pekerjaan di luar negara dalam usaha membantu membawa mangsa pulang ke tanah air.

Menurutnya, beliau dimaklumkan sindiket memanipulasi mangsa yang terdesak mahu bekerja selepas hilang sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19.

CHON Siang. FOTO Amirudin Sahib
CHON Siang. FOTO Amirudin Sahib

"Kebanyakan mangsa dijanjikan gaji AS$2,000 setiap bulan kononnya bekerja di kasino hotel.

"Namun apabila tiba di sana (luar negara), mereka perlu bekerja dengan sindiket yang mengarahkan mereka mendapatkan wang hasil penipuan atau perjudian dalam tempoh sehari.

"Sekiranya tidak berjaya capai jumlah sasaran, mereka akan didera," katanya.

Menurutnya, ada kes di mana mangsa dipaksa menandatangani perjanjian mendakwa kononnya mereka berhutang kepada sindiket dan perlu melangsaikan hutang sebelum dilepaskan.

"Dari situ, mereka merakam video mangsa didera untuk dihantar kepada ahli keluarga dan meminta wang didakwa sebagai 'hutang' jika mahu dibebaskan.

"Saya dimaklumkan jika mereka tidak mampu melunaskan 'hutang', mangsa dijual kepada sindiket lain pula yang akan mengenakan bayaran antara AS$3,000 hingga AS$10,000 bergantung kepada usia," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai terutama golongan muda supaya berhati-hati dengan tawaran pekerjaan dengan gaji tinggi ditawarkan sindiket," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 12:00 PM