SKUAD bola baling lelaki AUG 2024. FOTO Ihsan Sukan IPT
SKUAD bola baling lelaki AUG 2024. FOTO Ihsan Sukan IPT
Syafiq Aznan


Surabaya: Pingat emas yang diraih skuad bola baling lelaki pada temasya Sukan Universiti Sukan Asean (AUG) 2024 boleh dianggap sebagai emas 'terkejut' memandangkan mereka tidak diletakkan sebagai prospek untuk membawa pulang pingat emas.

Malah, pemain yang membarisi skuad bola baling lelaki juga masih muda dengan majoritinya adalah penuntut semester satu namun usaha keras diberikan membantu mereka mencipta kejutan pada temasya di Surabaya-Malang itu.

Jurulatih skuad bola baling lelaki AUG 2024, Muhammad Khairul Hafidzin menyifatkan anak buahnya berhak mendapatkan kejayaan itu selepas pemain sentiasa berusaha menunjukkan persembahan yang terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.

"Pemain kita memang agak gugup kerana baru didedahkan kepada pertandingan di peringkat antarabangsa, apatah lagi majoritinya adalah pemain yang berada pada semester tahun pertama.

"Kita banyak ketinggalan pada babak pertama tetapi kita dapat kembali menunjukkan saingan pada separuh masa kedua dan juga pada masa tambahan.

"Ini adalah pingat di luar jangka tetapi secara peribadinya, saya anggap ini adalah hasil atas usaha mereka. Saya nampak mereka memang bersungguh-sungguh demi diri sendiri dan demi negara," katanya.

Terdahulu, skuad bola baling lelaki negara merangkul pingat emas di AUG 2024 selepas menundukkan Singapura 28-26 di Universitas Teknik 10 Nopember, malam tadi.

Lebih manis, mereka mencipta sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama dalam acara bola baling memandangkan acara ini baru pertama kali diperkenalkan pada edisi 2024 di Surabaya-Malang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 2:53 PM