CHON Siang (dua dari kiri) bersama sebahagian enam orang rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan manusia di Myammar.
CHON Siang (dua dari kiri) bersama sebahagian enam orang rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan manusia di Myammar.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Dianggarkan kira-kira 1,000 rakyat Malaysia masih terkandas di Myanmar dan beberapa negara lain selepas diperdaya sindiket tawaran kerja palsu serta Love Scam.

Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Sim Chon Siang yang sebelum ini sanggup membelanjakan wang RM200,000 dari poket sendiri untuk menyelamatkan 96 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket di Myanmar.

Menurutnya, kebanyakan mangsa terpedaya dengan tawaran kerja bergaji lumayan atau ditipu dengan ayat-ayat manis menerusi sindiket Love Scam.

"Saya anggarkan 1,000 lebih mangsa ditawan sindiket berdasarkan maklumat dikongsikan mangsa-mangsa yang saya selamatkan sebelum ini.

"Saya tidak mahu lagi pergi menyelamatkan mangsa di sana kerana terlalu bahaya. Sebelum ini dua kali dah (rifle) M16 dihalakan ke arah saya. Jadi saya ambil keputusan untuk tidak pergi lagi ke sana.

"Sindiket berkenaan amat ganas, Di sana tiada undang-undang. Bagi mereka wang adalah undang-undang," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, mangsa dipaksa bekerja sebagai scammer dan jika gagal mencapai sasaran ditetapkan individu terbabit boleh dijual kepada sindiket lain seperti hamba abdi.

"Apa yang dibimbangi adalah wujud juga sindiket yang menjual organ untuk pasaran gelap," katanya.

Menurutnya, pihak kementerian perlu memainkan peranan dan berhubung dengan rakan sejawatan mereka di Myanmar bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan usaha Chon Siang menyelamatkan mangsa scammer di luar negara April tahun lalu.

Chon Siang berkata, bagi menjalankan usaha itu, beliau membuat kajian mengenai senario penipuan tawaran pekerjaan di luar negara dalam usaha membantu membawa mangsa pulang ke tanah air.

Menurutnya, beliau dimaklumkan sindiket memanipulasi mangsa yang terdesak mahu bekerja selepas hilang sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, ada kes di mana mangsa dipaksa menandatangani perjanjian mendakwa kononnya mereka berhutang kepada sindiket dan perlu melangsaikan hutang sebelum dilepaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 7:50 AM