Sharifah Mahani (tengah) meninggal dunia di kediamannya akibat kanser usus tahap empat.
Sharifah Mahani (tengah) meninggal dunia di kediamannya akibat kanser usus tahap empat.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Isteri kepada komposer dan penerbit, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah iaitu Datin Sharifah Mahani Syed Kassim Barakhbah,74, meninggal dunia di kediamannya di Prima Setapak, di sini, jam 11.15 pagi hari ini akibat kanser usus tahap empat.

Berita sedih itu dimaklumkan anak lelakinya, Megat Mohd Syahraini yang memberitahu ibunya berada dalam keadaan tenat sejak seminggu lalu dan menghembuskan nafas terakhir di sisi anak-anaknya.

"Ibu disahkan menghidap kanser usus tahap empat sejak lapan bulan lalu. Pagi tadi selepas kakak saya membersihkan badannya, kemudian tidak lama selepas itu ibu pergi buat selama-lamanya.

"Arwah sudah tenat hampir seminggu. Arwah juga sudah menjalani proses radioterapi dan kimoterapi pada Mac lalu, tapi rawatan kimoterapi terpaksa dihentikan kerana usianya yang sudah mencecah 74 tahun.

"Kami reda dengan pemergian ibu. Macam-macam kenangan kami lalui ketika berada di sisinya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Megat, Allahyarham ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, di sini, selepas solat Asar, hari ini.

"Jenazah akan akan dibawa untuk dimandi dan disolat di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini.

Selain Megat, Allahyarham turut memiliki seorang lagi cahaya mata, Siti Syafrina Suhaimi.

Allahyarham Pak Ngah meninggal dunia akibat serangan jantung di Tanjung Pinang, Batam, Indonesia pada 25 September 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 2:59 PM