Oleh Samadi Ahmad


Sepang: Enam lelaki warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan di Myawaddy, Myanmar selamat dibawa pulang, hari ini.

Kepulangan mereka diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum Sim Chon Siang dari Bangkok, Thailand sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12 tengah hari.

Sim berkata, beliau berada di Bangkok sejak 14 Disember lalu bagi membawa pulang enam rakyat Malaysia terbabit yang berusia 25 hingga 30 tahun.

Katanya, empat daripada mangsa itu berjaya melarikan diri ketika dalam perjalanan untuk dijual ke agensi lain di Laos semasa berada di sekatan jalan raya yang diadakan pihak berkuasa Thailand.

"Empat mangsa ini kemudian ditahan di lokap balai polis daerah Mae Phrik selama dua minggu kerana tiada dokumentasi dan dibantu oleh seorang rakyat Malaysia yang menetap di negara itu bagi menyalurkan maklumat kepada pihak Kedutaan Malaysia di Thailand dan pihak berkuasa di negara ini," katanya.

Menurutnya, dua mangsa lagi yang juga rakan sekampung berasal dari Batu Pahat, Johor berusia 19 hingga 21 tahun bekerja di kawasan sama di KK Garden, Myanmar.

Katanya, dua mangsa itu dilepaskan di daerah Mae Sot, Thailand selepas pihak sindiket melihat video yang tular di media sosial dari ahli keluarga memohon mereka diselamatkan.

Beliau berkata, mereka dilepaskan di kawasan kedai dan diselamatkan pihak berkuasa Thailand serta dirujuk ke kedutaan Malaysia di negara itu.

"Sebelum ini sindiket itu juga ada menghubungi keluarga mangsa bagi menuntut wang tebusan berjumlah RM15,000.

"Mangsa didera mental dan fizikal selain bekerja melebihi 15 jam sehari tanpa diberi makanan kerana tidak mencapai sasaran harian," katanya.

Sim berkata, pihaknya masih berusaha untuk mengesan sembilan lagi rakyat Malaysia yang masih terperangkap di Myawaddy.

Sim Chon Siang (dua dari kiri) bersama sebahagian enam orang rakyat Malaysia yang diselamatkan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Sim Chon Siang (dua dari kiri) bersama sebahagian enam orang rakyat Malaysia yang diselamatkan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO AIZUDDIN SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 4:30 PM