LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Seramai 15 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air semalam.

Kementerian Luar (KLN) dalam kenyataan memaklumkan, semua mangsa yang diselamatkan Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 11.50 malam melalui penerbangan AK535.

"Selain Kemboja, KLN melalui Kedutaan Besar Malaysia di Laos, Myanmar dan Thailand terus menggiatkan usaha mengesan, menyelamat dan membawa pulang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di negara-negara terbabit.

"KLN amat prihatin dan memandang serius mengenai nasib warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara," katanya.

Menurutnya, sebanyak 301 kes membabitkan penipuan pekerjaan di empat negara berkenaan diterima setakat ini.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 168 mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air.

"Selain itu, 34 orang mangsa ditahan di depoh tahanan imigresen, manakala baki 99 orang lagi masih dikesan pihak berkuasa negara berkenaan," katanya.

Malah, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada Isnin lalu mengadakan perjumpaan secara maya bersama Duta Besar, Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Myanmar, Kemboja, Laos dan Thailand.

Pertemuan itu bagi memperincikan langkah lanjut dalam menggiatkan usaha menyelamat rakyat Malaysia yang terbabit dalam kes berkenaan.

"Beliau juga menggerakkan misi menyelamat melalui Perwakilan Malaysia dalam usaha menangani permasalahan ini dengan segera.

"Selain itu, beliau turut mengarahkan supaya pendekatan yang lebih proaktif dapat diambil bagi menangani isu terbabit," katanya.

KLN melalui Perwakilan Malaysia di luar negara akan terus komited dan menggiatkan usaha untuk menyelamatkan mangsa seterusnya membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat.

Isnin lalu, media melaporkan lima rakyat Malaysia berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air selepas terpedaya menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja.

KLN melalui kenyataannya dilaporkan berkata, kelima-lima individu berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH755.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 10:13 PM