ANTARA markas sindiket scamme r antarabangsa yang digempur pihak polis di Kemboja baru-baru ini.
ANTARA markas sindiket scamme r antarabangsa yang digempur pihak polis di Kemboja baru-baru ini.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Hanya segelintir rakyat Malaysia yang berpotensi dan memiliki IQ (ukuran piawai kepintaran) memuaskan dipilih menjadi 'operator penipuan' oleh sindiket tawaran pekerjaan palsu berpangkalan di luar negara.

Difahamkan rata-rata mangsa dalam kalangan remaja atau belia Malaysia perlu melalui tapisan ketat dan diarah melalui sesi percubaan latihan amali sebelum layak diambil bekerja sebagai konco scammer antarabangsa.

Sumber berkata, berdasarkan maklumat diperoleh serta keterangan diambil dari mangsa diselamatkan polis, sindiket tawaran pekerjaan atau scammer antarabangsa ini memiliki struktur organisasi amat sistematik.

"Setiap ahli sindiket memiliki peranan sebagai pengawal bangunan, jurulatih rekrut baharu, penyelia tugasan harian dan pakar teknikal.

"Biasanya rakyat Malaysia yang berjaya diperdaya sebelum dibawa ke markas sindiket di luar negara seperti di Myanmar, Laos, Kemboja atau Vietnam akan melalui sesi penilaian awal oleh sindiket.

"Tidak semua mereka ini mempunyai latar belakang akademik memuaskan. Di sini letakkan perbezaan antara calon yang dicari sindiket dan calon yang bakal disingkirkan," katanya.

Menurutnya, semua mangsa akan diarah menjalani latihan amali menggunakan nota khas, peralatan gadget dan alatan komunikasi khas disediakan selama beberapa minggu hingga tempoh sebulan.

"Ada yang berfikir bahawa setiap mangsa perlu fasih berbahasa Inggeris untuk berinteraksi dengan sasaran. Namun ia ternyata meleset. Berdasarkan maklumat, sindiket memiliki aplikasi khas dan sistem tertentu yang membolehkan mereka memerangkap mangsa.

"Apa yang mengejutkan, mangsa yang diperdaya melalui love scam, parcel scam atau pelaburan tidak wujud bukan hanya membabitkan penduduk Asia malah menjangkau hingga Eropah dan Amerika Syarikat," katanya.

Menurutnya, calon yang dianggap 'bebal' dan tidak mampu menjalankan tugas akan diasingkan dan didera mental dan emosi.

"Mangsa ini kemudian diarah supaya menghubungi ahli keluarga di Malaysia dan dipaksa meminta wang tebusan bagi membolehkan mereka dilepaskan.

"Dengan cara ini sindiket masih mampu memperoleh sejumlah keuntungan melalui wang tebusan yang dibayar sebelum mangsa dilepaskan di sempadan negara," katanya.

Menurut sumber lagi, tidak semua rakyat Malaysia ini adalah mangsa tawanan scammer berikutan ada antaranya dengan rela hati berkomplot dan menjadi konco sindiket.

"Biasanya mereka ini kelompok yang berjaya menjalankan tugas penipuan dan diberi habuan wang tunai dalam jumlah besar.

"Mungkin kerana 'gelap mata' dengan ganjaran yang diperolehi, mereka sanggup bertindak menjadi tali barut sindiket.

"Secara dasarnya, bukan semua rakyat Malaysia ditawan sindiket ini adalah hamba abdi berikutan ada antara mereka memilih untuk terus kekal berkhidmat untuk sindiket," katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Dato Seri Abd Jalil Hassan sebelum ini memaklumkan seramai 115 rakyat Malaysia dikenal pasti masih berada dalam tawanan di luar negara kerana menjadi mangsa penipuan sindiket tawaran pekerjaan sehingga 1 Jun lalu.

Angka statistik terkini itu direkodkan polis sehingga 1 Jun lalu berdasarkan maklumat dan risikan dilakukan,.

Beliau berkata, rata-rata mangsa dikesan masih terkandas di negara Kemboja, Myanmar, Laos dan lain-lain negara lain.

Mangsa membabitkan 100 lelaki dan 15 wanita berusia lingkungan 17 tahun sehingga 41 tahun.

Sehingga 26 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 110 laporan polis mengenai rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara kerana menjadi mangsa penipuan sindiket scammer.

CHONG menemui dua remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun yang selamat pulang ke tanah air selepas
CHONG menemui dua remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun yang selamat pulang ke tanah air selepas

Lari dari rumah dek tergoda tawaran gaji RM7,000 sebulan

Nekad lari dari rumah dan sekolah semata-mata tertarik dengan tawaran pekerjaan hebat dijanjikan sindiket penipuan.

Keputusan diambil rata-rata remaja tempatan berusia awal belasan tahun ini akibat tergoda dengan peluang bekerja di luar negara dengan imbuhan gaji besar antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan.

Difahamkan golongan 'budak mentah' ini diperdaya iklan pekerjaan kosong di Facebook dan Instagram sebelum nekad meninggalkan negara tanpa pengetahuan keluarga.

Terbaharu remaja sekolah berusia 14 dan 15 tahun adalah antara mangsa sindiket penipuan antarabangsa itu yang terjerat sebelum menjadi tawanan sindiket sejak Mac lalu.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, dua remaja sekolah itu berasal dari Bera, Pahang adalah antara ratusan warga Malaysia yang diperdaya sebelum dikurung sindiket di luar negara.

Menurutnya, dua remaja itu bagaimanapun bernasib baik dilepaskan sindiket selepas keluarga mereka membayar sejumlah wang tebusan baru-baru ini.

"Berdasarkan keterangan mangsa, mereka diseludup keluar ke Thailand oleh ahli sindiket sebelum dibawa masuk ke Myanmar pada 22 Mac lalu.

"Remaja terbabit menyedari ditipu apabila dipaksa bekerja sebagai 'operator' panggilan penipuan. Mereka diberikan buku kecil berhubung kaedah untuk menipu mangsa yang kebanyakannya warga China di luar negara.

"Mangsa mendakwa dipaksa bekerja lebih 12 jam dan diberikan RM900 sebagai elaun makanan bulanan," katanya.

Dia berkata, mangsa tidak berani untuk cuba melarikan diri berikutan lokasi sindiket itu dikawal individu bersenjata api.

"Mereka memaklumkan diberikan bilik tidur memuatkan enam mangsa seperti mereka. Malangnya kedua-dua mangsa ini gagal mencapai sasaran prestasi ditetapkan sindiket berkenaan.

"Mangsa kemudian merayu kepada 'bos' supaya membebaskan mereka. Bagaimanapun sindiket menghubungi keluarga remaja itu dan meminta wang tebusan sebanyak 300,000 yuan (RM198,951).

"Namun selepas tawar- menawar, jumlah wang tebusan itu dikurangkan kepada RM10,000. Mangsa kemudian dibebaskan selepas keluarga mereka membayar wang tebusan," katanya.

Menurutnya, mangsa ditinggalkan sindiket di sebuah hotel di bandar sempadan Mae Sot, Thailand, berjaya dibawa pulang ke Malaysia pada 24 Jun lalu.

"Namun usaha membawa pulang mereka tidak semudah disangka berikutan mangsa perlu melepasi siasatan pihak imigresen Thailand dan mendapatkan dokumen di Kedutaan Malaysia.

"Sehingga kini kami menerima kira-kira 78 laporan membabitkan rakyat Malaysia ditipu sindiket [scammer' di luar negara membabitkan 63 lelaki dan 15 wanita.

"Saya menasihati rakyat Malaysia lebih berhati-hati dalam menerima tawaran pekerjaan meragukan di luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 6:45 AM