Puluhan belia Malaysia jadi tawanan sindiket di luar negara.
Puluhan belia Malaysia jadi tawanan sindiket di luar negara.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Berpuluh belia Malaysia dikesan menjadi tawanan dan 'hamba abdi' sindiket penipuan antarabangsa di luar negara dengan dipaksa bekerja sebagai 'operator penipuan' jarak jauh.

Itu nasib menimpa berpuluh warga Malaysia yang kini didakwa dikurung sindiket penipuan scammer yang beroperasi di beberapa negara Asean.

Sindiket dikatakan berjaya memperdaya anak muda tempatan yang terdesak mencari pekerjaan dengan menawarkan pekerjaan bergaji lumayan tidak munasabah.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Biro Pengaduan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima berpuluh aduan membabitkan mangsa dikalangan belia tempatan yang ditipu dan kini menjadi tawanan sindiket di negara asing.

Menurutnya, dalam kes terbaharu diadukan kepada pihaknya kelmarin, seorang mangsa lelaki berusia 20-an mendedahkan diperdaya sindiket scammer selepas diumpan tawaran kerja kosong sebagai operator tele pemasaran dan perkhidmatan pelanggan di Kemboja.

"Mangsa yang naif mendakwa teruja selepas dijanjikan gaji lumayan mencecah hampir RM5,000 dengan bekerja di luar negara.

"Mangsa mendakwa ditawarkan kerja kosong itu melalui kenalan atau iklan di media sosial. Mangsa yang bersetuju dengan tawaran kerja diberikan itu kemudian menaiki pesawat ke Kemboja sebelum disambut 'ejen' sindiket di lapangan terbang," katanya.

Micheal berkata, mangsa kemudian dibawa ke kediaman yang menjadi markas operasi sindiket scammer berkenaan.

"Kerjaya operator panggilan tele pemasaran ditawarkan itu sebaliknya tidak wujud sama sekali. Mangsa sebaliknya diarah menjadi 'keldai scammer' untuk menipu rakyat Malaysia.

"Mereka diberikan salinan skrip untuk dihafal dan menghubungi nombor telefon mangsa di Malaysia. Mereka dipaksa menjalankan misi jahat memperdaya mangsa untuk menyerahkan maklumat peribadi dan wang melalui transaksi bank," katanya.

Dia berkata, mangsa diberikan komputer riba oleh pihak sindiket khusus untuk menipu rakyat Malaysia.

Menurutnya, ada dalam kalangan belia terbabit enggan akur dengan arahan pihak sindiket menyebabkan mereka dipukul atau didera secara mental serta fizikal.

"Sukar untuk mereka ini melarikan diri berikutan mereka berada di luar negara selain markas sindiket dikawal ketat lelaki bersenjata.

"Ada antara mangsa yang dijadikan tawanan sindiket ini membabitkan remaja seawal usia 17 tahun.

"Apa yang dilalui mangsa ini bukan cerita rekaan berikutan ibu bapa dan ahli keluarga mangsa menerima panggilan kecemasan, mesej suara, video dan mesej teks daripada mangsa yang ditawan sindiket," katanya ketika menerima laporan dibuat keluarga seorang mangsa yang diperdaya sindiket, kelmarin.

Michael berkata, seorang mangsa memaklumkan terdapat kira-kira 50 rakyat Malaysia ditahan di bangunan sama dengannya dan dipaksa menjadi 'kuncu' sindiket itu.

"Malah mangsa meminta supaya supaya ahli keluarga membayar wang 'tebus diri' RM30,000 hingga RM50,000 jika mahu dibebaskan oleh sindiket.

"Kejadian itu sudah dilapor kepada pihak polis. Saya berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan polis antarabangsa Interpol untuk menyelamatkan semua mangsa ini.

"Saya yakin ramai keluarga mangsa tidak membuat laporan polis berikutan bimbang keselamatan anak masing-masing.

"Susulan isu ini, pihak Biro Pengaduan Awam MCA sudah menghantar surat kepada Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada 3 Mac lalu untuk mendapatkan bantuan menyelamatkan mangsa sindiket terbabit," katanya.

Micheal turut menasihati golongan muda tempatan supaya berhati-hati dengan sebarang tawaran pekerjaan kosong di luar negara.

"Saya menasihatkan pencari kerja supaya berbincang dengan keluarga sebelum menerima sebarang tawaran. Ini kerana sindiket akan meminta mangsa merahsiakan perjalanan mereka ke luar negara.

"Saya bimbang sindiket merekrut 'hamba abdi' scammer ini akan lebih aktif susulan sempadan negara sudah dibuka semula sejak 1 April lalu," katanya.

Sementara itu dalam aduan berasingan, seorang wanita membuat aduan kepada Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew mendakwa anaknya diperdaya dan menjadi tawanan sindiket di Kemboja.

Wanita terbabit, Wong Choon Ling, 64, mendakwa dihubungi anaknya, Lai Mun Wor, 37, yang meminta RM20,000 bagi membebaskan diri selepas dikurung sejak Oktober tahun lalu.

Wang itu didakwa adalah pampasan yang perlu dibayar kepada sindiket terbabit jika hendak pulang ke Malaysia.

Mangsa bertolak ke Kemboja pada 25 Oktober lalu selepas ditawarkan pekerjaan sebagai kerani dengan gaji RM4,000 sebulan di negara itu.

MICHAEL (tengah)  menerima aduan dari ahli keluarga mangsa yang mendakwa diperdaya dan dikurung sindiket di Kemboja.
MICHAEL (tengah) menerima aduan dari ahli keluarga mangsa yang mendakwa diperdaya dan dikurung sindiket di Kemboja.

PDRM usaha percepat operasi selamat mangsa

Bukan hanya di Kemboja, malah ramai rakyat Malaysia kini dijadikan tawanan sindiket penipuan antarabangsa di Mae Sot, Thailand; Vientiane, Laos dan Kayin State, Myanmar.

Sehingga kini Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan membabitkan aktiviti sindiket pemerdagangan orang yang aktif menjerat dan mengeksploitasi mangsa sebagai buruh paksa sebelum dikurung dengan kawalan ketat di empat negara itu.

Kegiatan sindiket itu dikesan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menerusi enam laporan polis yang diterima sejak 2021 sehingga Mac lalu.

Pengarah JSJ, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, terdapat 26 mangsa terdiri daripada 24 lelaki dan dua wanita yang masih memerlukan bantuan untuk diselamatkan daripada sindiket berkenaan.

Beliau berkata, PDRM percaya masih terdapat ramai lagi mangsa dalam tawanan sindiket itu yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

"PDRM percaya masih terdapat mangsa terkandas dalam kawalan sindiket itu yang tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa.

"Daripada maklumat diterima mendapati kesemua mangsa diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan tawaran gaji lumayan melalui media sosial.

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu akan berhubung dengan ejen melalui aplikasi Wechat, WhatsApp atau Facebook," katanya.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata, mangsa yang bersetuju dengan syarat pekerjaan termasuk gaji, waktu kerja dan lain-lain kebajikan akan diurus oleh ejen yang turut berjanji menanggung segala kos perbelanjaan ke destinasi pekerjaan.

Pengarah JSJ, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.
Pengarah JSJ, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Malangnya, beliau berkata, dokumen perjalanan dan telefon bimbit mangsa akan dirampas serta dimusnahkan sebaik mereka tiba di negara berkenaan.

Selain itu katanya, pergerakan mangsa juga dikawal dan dikurung sebelum dihantar ke destinasi tertentu seperti Preah Sihanouk, Kemboja; Mae Sot, Thailand; Vientiane, Laos dan Kayin State, Myanmar.

"Mangsa sedar diperdaya selepas dipaksa melakukan pekerjaan perjudian dalam talian, scammer, pelaburan palsu, perlombongan bitcoin dan penipuan lain.

"Mangsa tidak dibenarkan pulang ke negara asal selagi tidak mencapai sasaran syarikat berkenaan. Mangsa akan diminta membayar ganti rugi dianggarkan berjumlah RM30,000 hingga RM50,000 setiap seorang sekiranya ingin kembali ke negara asal," katanya.

Katanya, siasatan mendapati sindiket itu mempunyai rangkaian jenayah rentas sempadan dan beroperasi secara teratur serta mempunyai jalinan rangkaian yang luas.

Justeru, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha untuk bekerjasama dengan Interpol dan Aseanapol bagi tujuan membantu mengesan serta menyelamatkan mangsa di negara masing-masing.

Kata beliau, PDRM juga akan berkolaborasi dengan Kementerian Luar Negeri bagi membantu mempercepatkan proses menyelamatkan mangsa di negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 12:00 PM