KODI Rasheed. FOTO Arkib NSTP
KODI Rasheed. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon, Kodi Rasheed mengimbas kembali pembabitan awalnya sebagai pelakon bermula pada 2014 apabila berkahwin awal.

Kodi atau nama sebenarnya, Mohd Zhazmeer Mohd Rasheed, 33, berkata, dia pernah dinasihatkan beberapa pihak supaya jangan kahwin terlebih dulu kerana nanti susah untuk popular.

"Saya cakap tak apa kerana jodoh dah sampai. Saya pun kahwin dan percaya soal rezeki Allah yang tentukan. Nak dijadikan cerita siang saya bersanding. malamnya menang anugerah.

"Itu kan rezeki. Maksudnya ia satu pencapaian untuk diri saya serta pencapaian dalam seni juga. Berlakon filem pertama, terus menang," katanya.

Kodi tampil membintangi filem Ophilia pada 2014. Dia berkahwin dengan Nor Fatihah Mahad di Pusat Konvensyen Ideal, Batu Caves pada 31 Ogos 2015 dan pada malamnya memenangi gelaran Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27.

"Saya percaya itu rezeki kahwin. Sekarang pula orang dah tak peduli status seseorang pelakon sama ada dah kahwin atau belum. Janji kerja bagus dan personaliti 'best', selain disenangi orang, pasti akan diterima.

"Orang dah bijak sekarang. Tengok berapa ramai peminat Airel Zafrel dan dia pun dah kahwin dengan Wawa Zainal sekarang. Saya langsung tak rasa status mengganggu. Sekarang tak macam dulu," katanya yang kini memiliki dua anak.

Dalam perkembangan berkaitan, Kodi tidak menafikan filem Sheriff: Narko Integriti lakonannya memberi kesan besar terhadap namanya.

"Mana yang tak tahu dan tak kenal saya sekarang dah tahu siapa Kodi Rasheed. Sekurang-kurangnya mereka dah kenal. Sheriff memang buka ruang untuk orang kenal.

"Syukur saya dapat aura positif dari watak itu. Sekarang saya muncul dengan filem Abnormal : Buas dan diharap peminat dapat terima lakonan saya.

"Saya juga kini terbabit dengan drama slot Akasia berjudul Salju Rindu di New Zealand. Kalau sebelum ini banyak buat watak antagonis dalam Akasia, kali ini saya bawa watak baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 2:52 PM