Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Bukan sedikit jumlahnya apabila seramai 115 rakyat Malaysia dikenal pasti masih berada dalam tawanan di luar negara kerana menjadi mangsa penipuan sindiket tawaran pekerjaan.

Mendedahkan 'perkara itu kepada Harian Metro, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Dato Seri Abd Jalil Hassan berkata, angka statistik terkini itu direkodkan polis sehingga 1 Jun lalu.

Beliau berkata, rata-rata mangsa dikesan masih terkandas di negara Kemboja, Myanmar, Laos dan lain-lain negara lain.

"Mangsa membabitkan 100 lelaki dan 15 wanita berusia lingkungan 17 tahun sehingga 41 tahun.

"Sehingga 26 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 110 laporan polis mengenai rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara kerana menjadi mangsa penipuan sindiket scammer,' katanya.

Menurutnya, terdapat dua faktor utama yang menyebabkan mangsa mudah dipengaruhi dan diperdaya sindiket untuk bekerja di luar negara.

"Antaranya faktor tarikan (pull factor) adalah tawaran gaji lumayan dan kemudahan disediakan. Manakala faktor penolakan adalah mangsa ingin mencari kerja mudah dengan ganjaran yang lumayan.

"Buat masa ini PDRM sedang berusaha gigih dengan bekerjasama dengan polis antarabangsa Interpol dan Aseanapol bagi tujuan membantu mengesan dan menyelamatkan mangsa-mangsa terbabit," katanya.

Menurutnya, PDRM juga berkolaborasi dengan pihak kementerian luar negeri bagi membantu mempercepatkan proses menyelamatkan mangsa-mangsa di luar negara.

Beliau menasihati rakyat Malaysia yang menerima tawaran pekerjaan di luar negara hendaklah mengetahui dan mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan pekerjaan tempatan.

"Ia bertujuan memastikan mereka diambil bekerja secara sah dan bukan diperdaya sindiket. Antara perkara penting seperti visa kerja, kontrak kerja dan sebagainya merupakan dokumen pekerjaan yang dapat menjamin tawaran kerja yang sah," katanya.

Beliau kelmarin menafikan penyebaran dua video didakwa membabitkan dua rakyat Malaysia yang ditawan dan didera sindiket menggunakan alat renjatan elektrik (stun gun).

Menurutnya, kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki dan wanita bukan warga Malaysia.

Video pertama berdurasi 54 saat membabitkan mangsa wanita dipercayai warga Vietnam manakala mangsa dalam video kedua yang berdurasi seminit dan 47 saat pula adalah lelaki.

"Kedua-dua mereka digari di atas katil dan diugut dengan stun gun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 12:00 PM