Tiga lelaki tempatan ditahan melindungi 58 PATI yang dilindungi dan digajikan untuk bekerja di sebuah kilang kitar semula haram di Bandar Tenggara, di sini, awal pagi semalam. FOTO IHSAN PDRM
Tiga lelaki tempatan ditahan melindungi 58 PATI yang dilindungi dan digajikan untuk bekerja di sebuah kilang kitar semula haram di Bandar Tenggara, di sini, awal pagi semalam. FOTO IHSAN PDRM
Mohamed Farid Noh

Kota Tinggi: Seorang penyelia dan dua penjaga kilang ditahan kerana dipercayai melindungi 58 pendatang asing tanpa izin (Pati) di sebuah kilang kitar semula haram di Bandar Tenggara di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, penahanan itu dibuat susulan operasi bersepadu antara Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 Simpang Renggam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor hasil makluman awam.

Menurutnya, seramai 58 Pati membabitkan 53 lelaki dan lima wanita berusia antara 18 hingga 53 tahun turut ditahan dalam operasi itu berikutan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah

"Hasil operasi bersepadu itu, kita menahan dua penjaga kilang lelaki berusia antara 20-an hingga 40-an yang disyaki melindungi Pati yang bekerja di kilang itu.

"Pemeriksaan lanjut menemui satu paket kecil berisi serbuk serta ketulan kristal disyaki syabu seberat 0.46 gram dengan seorang penjaga kilang itu disahkan positif dadah.

"Kita turut menahan penyelia kilang berusia 40-an yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk memberi keterangan pada 10.30 malam tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hussin berkata, JAS Johor turut membuka siasatan menerusi Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mengesan kesan pencemaran susulan kewujudan kilang kitar semula haram berkenaan.

"Tiga lelaki tempatan yang juga penyelia dan penjaga kilang itu ditahan reman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

"Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas atas mana-mana individu yang melindungi dan menggaji Pati dan penyalahgunaan dadah," katanya

Husin berkata, ketiga-tiga lelaki tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen selain Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kilang berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk menahan operasi kilang berkenaan selain Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) dan Aktiviti 14(b)(Ii) Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 3:09 PM