DR Dzulkefly Ahmad. FOTO Bernama
DR Dzulkefly Ahmad. FOTO Bernama
Ercy Gracella Ajos

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) bakal menguatkuasakan sepenuhnya peraturan dan perintah di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), Ogos ini.

Ringkasan Berita
  • KKM akan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 pada Ogos ini.
  • Akta ini merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan, dan larangan merokok di tempat awam.
  • Peraturan dan perintah yang akan dikuatkuasakan termasuk rokok elektronik.
  • Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, antara peraturan yang termaktub mengikut akta itu termasuk pendaftaran, penjualan, pembungkusan dan pelabelan serta satu perintah berkaitan larangan merokok di tempat awam.

    Katanya, semua peraturan dan perintah ini akan dikuatkuasakan serentak dengan Akta 852 termasuk rokok elektronik.

    "Tiga peraturan sudah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan dua lagi peraturan dan satu perintah tambahan kini dalam proses kelulusan.

    "Peraturan dan perintah akan dikuatkuasakan bersama dengn Akta 852 pada Ogos 2024, apabila semuanya berada dalam keadaan teratur. InsyaAllah, dengan izin Tuhan, tiada lagi kelewatan," katanya dalam hantaran di laman X rasminya, hari ini.

    Beliau mengulas mengenai kenyataan beberapa pihak yang mempersoalkan kelewatan penguatkuasaan Akta 852 yang masih lagi tertangguh pelaksanaannya,termasuk daripada pihak Persatuan Farmasi Malaysia (MPS).

    Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, beliau memahami keresahan pelbagai pihak berhubung kelewatan pelaksanaan penguatkuasaan Akta 852.

    "Saya benar-benar memahami keresahan (orang ramai) disebabkan kelewatan dalam pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) ini.

    "Saya memohon empati anda bahawa KKM sedang berusha sebaik mungkin untuk mendapatkan pengesahan AGC berhubung kelulusan peraturan dan perintah ini," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 3:59 PM