PASUKAN negara meraikan kejayaan muncul juara Piala Asia. FOTO MHC
PASUKAN negara meraikan kejayaan muncul juara Piala Asia. FOTO MHC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara mencipta sejarah memecahkan dominasi Iran di Piala Asia Hoki Dalam Dewan apabila mencatat kemenangan dalam aksi final di Bangkok, Thailand menerusi penentuan shoot out 3-2.

Iran sebelum ini mendominasi Piala Asia dengan merangkul lapan kejuaraan sejak 2008, namun Malaysia berjaya membalas dendam selepas sering disekat oleh pasukan nombor tiga dunia itu apabila tumpas pada aksi final sebanyak empat kali (2008, 2009, 2010 dan 2014).

Dendam skuad negara akhirnya berjaya dilunas anak buah Amin Rahim, apabila Muhamad Izham Azhar, Norsyafiq Sumantri dan Shello Silverius tenang menyempurnakan shoot out apabila kedua-dua pasukan terikat pada aksi sebenar 4-4.

Iran terlebih dulu berada di depan apabila Mohsen Bohlouli menyempurnakan pukulan sudut penalti, sebelum Muhammad Ashran Hamsani mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-12.

Malaysia mendahulu buat kali pertama apabila penyerang kelahiran Sabah, Shello Silverius menjaringkan gol empat minit kemudian namun kedudukan kembali terikat apabila Iran menyamakan kedudukan pada minit ke-20 melalui Amirmahdi Mirzakhani.

Pada minit ke-26 Malaysia kembali berada di depan apabila Mohd Norhafizie Jamil Azomi mencetak nama sebagai penjaring, sebelum kedudukan terikat 3-3 apabila pemain Iran, Mohammad Karimi meledak gol padang enam minit kemudian.

Ashran menjaringkan gol kedua peribadi untuk membolehkan Malaysia mendahului 4-3 namun ia tidak bertahan lama apabila Hamid Nooranian menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti sebelum penentuan berakhir dengan shoot-out yang menjadi milik Malaysia.

Sementara itu, skuad wanita negara berjaya menduduki tempat ketiga apabila mengalahkan Kazakhstan 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga/keempat dengan dua gol negara diraih melalui penalti stroke pada minit ke-15 (Iren Hussin) dan 39 (Nur Aisyah Yaacob).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 8:25 PM