PASUKAN Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjulang piala kemenangan selepas menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) pada perlawanan Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam ini. FOTO Bernama
PASUKAN Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjulang piala kemenangan selepas menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) pada perlawanan Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam ini. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya merampas gelaran juara Piala Sumbangsih 2024 daripada Terengganu Hockey Team (THT) selepas meraih kemenangan 3-1 menerusi penentuan shoot-out.

Aksi penuh perlawanan 60 minit berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 dan gol penentuan shoot-out, jaringan Muhammad Shahril Saabah, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi serta Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menjulang TNB selaku juara Piala Sumbangsih.

Aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan THT menjaringkan satu gol shoot-out menerusi kapten pasukan, Mohd Fitri Saari dan gol itu tidak cukup untuk menidakkan kemenangan 3-1 milik TNB.

Dalam aksi sebenar, TNB dan THT dilihat memulakan perlawanan dengan tempoh permainan laju bagi mencari gol pendahuluan dan hasilnya TNB dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ketiga.

Menerusi dua pukulan sudut penalti berturut-turut dimiliki, TNB mendahului perlawanan selepas Jang Jong Hyun menyempurnakan kelebihan itu dengan melakukan flik mencari sudut bawah sebelah kiri pintu gol THT, sekali gus menewaskan Muhammad Hafizuddin Othman.

Azrai Aizad melebarkan jurang kedudukan 2-0 pada minit ke-24 menerusi jaringan padang selepas dia yang tidak dikawal berjaya menyambut bola hantaran Muhammad Danish Danial Abdul Wahab untuk meledak jaringan.

Bagaimanapun THT bangkit mengejar menerusi jaringan balas gerakan padang Fitri, selepas melepasi pertahanan TNB dan melakukan satu pukulan deras ke arah pintu gol TNB untuk kedudukan berubah 1-2 sekali gus menutup aksi separuh masa pertama.

Gol penyamaan THT akhirnya hadir pada minit ke-49 selepas kelebihan pukulan sudut penalti dimiliki bertukar kepada pukulan stroke ekoran kesilapan pertahanan TNB ketika cuba menyelamatkan kelebihan itu.

Fitri menyumbang gol penyamaan 2-2 selepas menyempurnakan penalti stroke dengan memilih sudut atas sebelah kanan pintu gol TNB.

Kedudukan 2-2 kekal menutup permainan dan memaksa perlawanan diheret ke penentuan shoot-out bagi mencari pemenang Piala Sumbangsih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 12:50 AM