PEMAIN hoki negara bersorak selepas muncul juara Piala Asia Hoki Dalam Dewan di Bangkok, semalam. FOTO ihsan MHC
PEMAIN hoki negara bersorak selepas muncul juara Piala Asia Hoki Dalam Dewan di Bangkok, semalam. FOTO ihsan MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada pasukan hoki lelaki negara yang melakar sejarah muncul juara buat kali pertama saingan Hoki Dalam Dewan Piala Asia di Bangkok, Thailand, semalam.

Perdana Menteri berkata, kejayaan menewaskan Iran menerusi penentuan shoot out 3-2 pada aksi final itu pastinya satu pencapaian membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

"Skuad hoki lelaki negara mencipta sejarah apabila muncul juara buat kali pertama dalam saingan Hoki Dalam Dewan Piala Asia selepas mengalahkan Iran menerusi penentuan 'shoot out' 3-2 pada aksi final yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

"Kejayaan ini pastinya membanggakan seluruh Keluarga Malaysia yang menanti kepulangan kalian di Malaysia! Terima kasih kerana mengharumkan nama Malaysia di persada dunia dan semoga lebih banyak kejayaan sukan hoki Malaysia di masa akan datang," katanya menerusi status di Facebook.

Iran sebelum ini mendominasi Piala Asia dengan merangkul lapan kejuaraan sejak 2008, namun Malaysia berjaya membalas dendam selepas empat kali disekat pasukan nombor tiga dunia itu di final pada 2008, 2009, 2010 dan 2014.

Dendam skuad negara akhirnya berjaya dilunas anak buah Amin Rahim apabila Muhamad Izham Azhar, Norsyafiq Sumantri dan Shello Silverius tenang menyempurnakan shoot out selepas kedua-dua pasukan terikat pada aksi sebenar 4-4.

Iran terlebih dulu di depan apabila Mohsen Bohlouli menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum Muhammad Ashran Hamsani mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-12.

Skuad negara mendahului buat kali menerusi Shello Silverius yang menjaringkan gol empat minit kemudian, namun kedudukan kembali terikat apabila Iran menyamakan kedudukan pada minit ke-20 melalui Amirmahdi Mirzakhani.

Malaysia kembali di depan minit ke-26 apabila Mohd Norhafizie Jamil Azomi mencetak nama sebagai penjaring, tetapi Iran menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Mohammad Karimi enam minit kemudian.

Ashran menjaringkan gol kedua peribadi untuk membolehkan Malaysia mendahului 4-3, namun ia tidak bertahan lama apabila Hamid Nooranian menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti sebelum penentuan berakhir dengan shoot-out yang menjadi milik Malaysia.

Skuad wanita negara pula berjaya menduduki tempat ketiga apabila mengalahkan Kazakhstan 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga/keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 9:44 AM