SKUAD hoki negara akan menentang Indonesia Khamis ini. FOTO MOM
SKUAD hoki negara akan menentang Indonesia Khamis ini. FOTO MOM
Syafiq Aznan


Hangzhou: Skuad hoki lelaki negara terus 'mengganas' apabila membelasah Oman 11-1 pada aksi kedua Kumpulan B Sukan Asia 2022 di Gongshu Canal Sport Park Stadium, sebentar tadi.

Nampaknya tiada istilah belas kasihan dalam kamus anak buah Arul Selvaraj apabila menjadikan Oman sebagai 'mangsa' kedua hanya dua hari selepas mereka turut merakan kemenangan besar 9-0 ke atas Thailand pada aksi pembukaan, dua hari lalu.

Ketika saingan sengit sekurang-kurangnya dinantikan daripada Oman yang berada pada kedudukan ke-29 dunia itu, situasi berbeza berlaku selepas 'Speedy Tigers' mudah mendahului seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti Razie Rahim.

Razie menambah gol keduanya menerusi pukulan penalti (m11) sebelum gol padang Mohamad Ashran Hamsani (m14) membolehkan Malaysia mendahului 3-0 sehingga tamat suku pertama.

Malaysia menambah empat gol pada suku kedua menerusi Shello Silverius (m18), Faizal Saari (m26), Azrai Aizad Abu Kamal (m29) dan Ashran (m30) namun gawang Malaysia 'bocor' buat kali pertama apabila Oman mendapat jaringan daripada Fahad Al-Lawati (m23).

Memasuki suku ketiga dengan keputusan 7-1, Malaysia menambah lagi 'koleksi gol' menerusi Najmi Farizal Jazlan (m34), Ashran (m35), Azrai (m36), Faizal (m39) namun angka 11 terhenti selepas tiada gol dihasilkan pada suku keempat.

Selepas ini, Malaysia akan menentang satu lagi seteru Asean iaitu Indonesia yang menghuni ranking ke-60 dunia pada aksi ketiga di venue sama Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 1:23 PM