PEMAIN THT meraikan kejayaan menjulang Piala Sumbangsih selepas menewaskan TNB 4-3. FOTO ASWADI ALIAS
PEMAIN THT meraikan kejayaan menjulang Piala Sumbangsih selepas menewaskan TNB 4-3. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun aksi tertangguh lebih setengah jam pada suku keempat akibat hujan, ia tidak menghalang Pasukan Hoki Terengganu (THT) menjulang trofi sulung 2023 iaitu Piala Sumbangsih selepas menumpaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 4-3 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Bintang Piala Dunia Korea Selatan, Jang Jonghyun muncul wira selepas menyempurnakan dua pukulan sudut penalti, sekali gus memberikan tiga mata sulung buat THT untuk saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Bagaimanapun, TNB yang dibimbing Nor Saiful Zaini Nasiruddin terlebih dulu berada di depan pada minit ke-13 apabila memperoleh gol padang melalui Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.

Seminit kemudian THT berpeluang menyamakan kedudukan selepas memperoleh pukulan sudut penalti, namun Jonghyun gagal menyempurnakan peluang dengan pukulan pertama terkena kaki Syed Syafiq Syed Cholan, manakala pukulan kedua diselamatkan penjaga gol, Mohammad Hairi Abd Rahman.

GELAGAT Fitri ketika meraikan jaringannya untuk THT. FOTO ASWADI ALIAS
GELAGAT Fitri ketika meraikan jaringannya untuk THT. FOTO ASWADI ALIAS

Selepas aksi suku kedua bersambung THT akhirnya memperoleh gol penyamaan apabila Fitri Saari melakukan gerakan solo sebelum melepaskan pukulan kilas pada minit ke-20.

TNB kembali berada di depan apabila Syed Syafiq menyempurnakan pukulan sudut penalti pada awal suku ketiga, namun Jonghyun menyamakan kedudukan juga menerusi pukulan sudut penalti.

Penyerang skuad kebangsaan, Shello Silverius meledak gol ketiga THT pada minit ke-43, namun kedudukan kembali terikat apabila Muhammad Amirul Amizan Azahar menampan pukulan sudut penalti Syed Syafiq di minit ke-49.

Akhirnya, Jonghyun muncul wira buat THT, sekali gus mempertahankan trofi yang dimenangi musim lalu apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-58.

Sementara itu, dalam tiga lagi perlawanan liga, Maybank tanpa belas ihsan ketika berdepan TNB Thunderbolt apabila membelasah pasukan bimbingan M Kaliswaran 10-0.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula mencatat kemenangan 6-2, manakala Nurinsafi Sporting yang beraksi di Bertam tumpas 2-6 ketika berdepan UiTM HA-KPT.

Dalam saingan Piala Sumbangsih wanita, Negeri Sembilan muncul juara selepas menang penentuan shoot out ke atas KPT Uniten Thunder 2-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 11:40 PM