FAIZAL menjaringkan gol pertama untuk Malaysian Tigers. FOTO FIH
FAIZAL menjaringkan gol pertama untuk Malaysian Tigers. FOTO FIH
Jugjet Singh


Bhubaneswar: Skuad hoki negara mempunyai peluang untuk mara ke suku akhir Piala Dunia Bhubaneswar-Rourkela, tetapi gagal untuk mencapai misi itu apabila terkandas dalam penentuan shoot out ketika berdepan Sepanyol di Stadium Kalinga sebentar tadi.

Keputusan masa sebenar berakhir dengan kedua-dua terikat 2-2 dan ketika aksi diheret sehingga shoot out ia juga berakhir 3-3 namun dalam aksi shoot out sudden death, Sepanyol berjaya menyempurnakan peluang berkenaan, manakala Firhan Ashari gagal menyudahkab pukulan penting itu.

Selepas ini skuad hoki negara akan berkunjung ke Rourkela sekali lagi untuk beraksi dalam pertarungan klasifikasi 9-16, manakala Sepanyol berdepan Australia di suku akhir di Bhubaneswar.

Dalam aksi sebentar tadi Malaysia terlebih dulu membuka jaringan namun berselang dua minit mereka membenarkan Sepanyol menyamakan kedudukan sebelum mendahului saingan.

Malaysian Tigers membuka jaringan apabila hantaran Faiz Helmi Jali dari tengah padang berjaya menemui Faizal Saari yang melakukan pukulan kilas untuk menumpaskan penjaga gol, Adrian Rafi pada mini ke-35.

Bagaimanapun, Sepanyol menguasai separuh masa kedua dan dua gol pantas pada minit ke-41 dan ke-42 menyaksikan Malaysia ketinggalan.

Gol pertama ialah pukulan sudut penalti yang bertukar menjadi pukulan penalti stroke yang disempurnakan oleh Marc Miralles dan sebelum Malaysia dapat menenangkan diri, Xavier Gispert menyempurnakan gol padang pada minit ke-42.

Skuad hoki negara berjaya menjaringkan gol apabila Amirul Azahar melepaskan pukulan deras dari jarak dekat, tetapi Faizal disalahkan oleh umpire kerana secara tidak sengaja menyentuh bola dengan bahagian belakang kayunya selepas rujukan video.

Malaysian Tigers terus berjuang dan Shello Silverius menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-49 untuk menghidupkan peluang.

Berbaki 42 saat permainan, aksi penuh dramatik apabila Sepanyol menyerang bertubi-tubi ke arah gawang Malaysia tetapi akhirnya, perlawanan diheret ke penentuan shoot out dan Malaysia gagal menoktahkan kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 9:43 PM