MUHAMMAD Daniel menyerahkan wang sumbangan netizen dan pengikut di TikTok kepada adik Acap. FOTO Ihsan Muhammad Daniel Ali
MUHAMMAD Daniel menyerahkan wang sumbangan netizen dan pengikut di TikTok kepada adik Acap. FOTO Ihsan Muhammad Daniel Ali
Redzuan Muharam


Melaka: "Niat saya hanya untuk bantu adik Acap, bukan untuk menunjuk dan sebenarnya enggan buat kutipan cuma ramai pengikut minta saya berbuat demikian," kata operator pengeluaran kilang, Muhammad Daniel Ali.

Muhammad Daniel, 22, memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi tujuannya mengumpul dana bagi disumbangkan kepada keluarga kanak-kanak penjual kerepek dikenali Acap.

Kisah Acap mendapat perhatian netizen selepas Muhammad Daniel memuat naik video kanak-kanak itu menjual kerepek di tepi lorong pandu lalu sebuah restoran minuman di Limbongan, di sini.

"Pertama kali saya ternampak Acap adalah ketika mahu memesan minuman di lorong pandu lalu restoran berkenaan.

"Saya yang merakam videonya kemudian muat naik di TikTok dengan keizinan ibunya dan tak sangka ia mendapat perhatian ramai.

"Ramai ingin membantu Acap kerana kasihan jadi saya buat kutipan dan berjaya mengumpul RM1,220 dalam tempoh sehari saja.

"Kesemua wang itu sudah saya serahkan kepada keluarga Acap kelmarin sebelum mereka pulang ke Johor Bahru dan difahamkan masih ada yang menyumbang sehingga kini namun wang itu disalurkan ke akaun ibu Acap," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MUHAMMAD Daniel Ali  ikhlas membantu adik Acap. FOTO Ihsan Muhammad Daniel Ali
MUHAMMAD Daniel Ali ikhlas membantu adik Acap. FOTO Ihsan Muhammad Daniel Ali

Menurut Muhammad Daniel, Acap tidak berseorangan sebaliknya bergerak menaiki kereta dengan ibu dan lima adik beradiknya yang lain.

Katanya, dia diberitahu ibu Acap yang mereka membawa diri dari Johor ke Melaka sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu kerana ada masalah keluarga.

"Saya dimaklumkan Acap dan keluarganya tidur di dalam kereta kerana tidak mampu tinggal menyewa.

"Jika ada wang lebih, baru mereka akan bermalam di hotel bajet sekitar bandaraya ini.

"Sementara Acap dan abangnya menjual kerepek, ibunya pula di dalam kereta membuat pembungkusan," katanya yang bercadang menziarahi Acap di rumah neneknya dekat Tampoi, Johor Bahru, Johor.

Meskipun terikat dengan tugasan, Muhammad Daniel berkata, dia ada juga terbabit dengan aktiviti khidmat masyarakat pada masa terluang.

"Sebelum ini, saya ada bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MyCare dalam membuat agihan bantuan kepada penghantar makanan.

"Itu dilakukan ketika tempoh PKP lalu dalam usaha meringankan beban mereka ketika tempoh pandemik," katanya.

Terdahulu, Pengarah JKM Melaak, Burhanuddin Bachik dalam kenyataannya memaklumkan sudah mengarahkan pegawainya melengkapkan siasatan berkaitan kanak-kanak dianggar berusia lingkungan 11 hingga 12 tahun itu jika berlaku sebarang pelanggaran mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (AKK 2001).

Sehubungan itu, pihaknya merayu orang ramai tidak menularkan video itu sebelum merujuk agensi berkaitan bagi pengesahan.

Burhanuddin berkata, keputusan meletakkan kanak-kanak itu di institusi kebajikan adalah pilihan terakhir.

Justeru, pihaknya akan mengesan dulu keluarganya dan jika ibu bapanya tidak mampu menjaga atau memberi perlindungan yang sempurna, JKM akan tempatkan kanak-kanak itu di institusi kebajikan.

Sekiranya mereka adalah keluarga susah dan memenuhi kelayakan JKM, bantuan sewajarnya akan diberikan termasuk kaunseling.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 9:27 PM