Tangkap layar klip memaparkan orang awam memberi sumbangan kepada kanak-kanak di kaki lima sebuah restoran makanan segera di Limbongan. Foto tular.
Tangkap layar klip memaparkan orang awam memberi sumbangan kepada kanak-kanak di kaki lima sebuah restoran makanan segera di Limbongan. Foto tular.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka menyiasat daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan seorang kanak-kanak lelaki dieksploitasi menjual kerepek seperti ditularkan menerusi rakaman video sejak semalam.

Klip berdurasi 39 saat dimuat naik pengguna TikTok menggunakan akaun @danielalii, menunjukkan kanak-kanak itu yang dikenali 'Acap' tertidur di kaki lima sebuah restoran makanan segera di Limbongan di sini, sambil memegang sebakul kerepek.

Pengarah JKM negeri, Burhanuddin Bachik berkata, beliau sudah mengarahkan pegawainya melengkapkan siasatan berkaitan kanak-kanak dianggar berusia lingkungan 11 hingga 12 tahun itu jika berlaku sebarang pelanggaran mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (AKK 2001).

Katanya, sehubungan itu pihaknya merayu orang ramai tidak menularkan video itu sebelum merujuk agensi berkaitan bagi pengesahan.

"Benda sebegini tidak patut ditularkan dulu, jika tidak betul ia akan memberi kesan besar kepada masyarakat, agensi kebajikan dan semua pihak seolah-olah tiada peranan dalam membantu mereka.

"Jika trend penyebaran tanpa semakan ini berterusan, dibimbangi akan membuka ruang kegiatan penipuan dalam pemberian sumbangan terutamanya di bulan Ramadan ini ramai orang mencari kelebihan pahala sedekah," katanya.

Beliau dihubungi pemberita bagi mengulas penularan empat klip video berdurasi 39 dan 43 saat dimuat naik di akaun TikTok @danielalii mengenai kanak-kanak itu yang kini merekodkan hampir empat juta tontonan.

Menerusi satu lagi klip berasingan, pengguna akaun terbabit berkongsi kutipan berjumlah RM1,055.16 hasil sumbangan orang ramai melalui tabung bantuan yang dibuka.

Turut disiarkan adalah acara penyerahan wang bantuan RM1,220 kepada Acap bersama sekumpulan individu dipercayai keluarganya di lokasi sama, selain pemilik akaun sama memaklumkan akan membuka semula tabung sumbangan kali kedua buat kanak-kanak itu dijangka secara langsung jam 9.30 malam ini.

Burhanuddin berkata, pemilik akaun TikTok terbabit sewajarnya menyemak dengan agensi berkaitan bagi menentukan kesahihan kisah kanak-kanak itu sebelum menyebarkannya.

"Kita bimbang trend meraih simpati sebegini nampaknya berlaku peningkatan setiap kali Ramadan.

"Namun, setakat ini JKM Melaka tidak menerima laporan kes ini dan jam 4 petang tadi saya sudah mengarahkan Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak daerah Melaka Tengah ke lokasi untuk menyiasat.

"Jika benar berlaku eksploitasi, ibu bapanya juga boleh dikenakan tindakan mengikut AKK 2001 kerana cuai dalam penjagaan manakala kanak-kanak terbabit akan ditempatkan di institusi kebajikan," katanya.

Mengulas lanjut Burhanuddin berkata, keputusan meletakkan kanak-kanak itu di institusi kebajikan adalah pilihan terakhir.

"Kita akan mengesan dulu keluarganya dan jika ibu bapanya tidak mampu menjaga atau memberi perlindungan yang sempurna, kita akan tempatkan kanak-kanak itu di institusi kebajikan.

"Jika mereka adalah keluarga susah dan memenuhi kelayakan JKM, bantuan sewajarnya akan diberikan termasuk kaunseling," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 7:45 PM