DANIEL (kiri) bersama Nadia dan Rayyan tiba di Hospital Melaka, semalam.
DANIEL (kiri) bersama Nadia dan Rayyan tiba di Hospital Melaka, semalam.
Nurul Fhatihah Zakinan

Melaka: Kehadiran si cilik berdarah kacukan Melayu-Nigeria, Adriel Rayyan Chukwuemeka Daniel, 7, ketika menunggu saat untuk dikhatankan di Hospital Melaka di sini, semalam, mencuri tumpuan orang ramai.

Murid tahun satu dari Sekolah Kebangsaan St Francis yang ditemani ibu bapanya, Daniel Emeka Oliver, 33, dan Nadia Izwanee Zainuddin, 40, itu tenang bermain permainan di telefon pintar meskipun mengakui agak takut.

Nadia yang berasal dari Alor Gajah ketika ditemui berkata, keputusan mengkhatankan satu-satunya anak lelaki daripada empat beradik itu dibuat selepas suaminya mengetahui program khidmat komuniti berkenaan, tahun lalu.

“Ini kali pertama saya bawa anak berkhatan kerana adik-beradik Rayyan yang lain semuanya perempuan.

“Sebelum ini dia pernah dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan di kepala, jadi saya harap tiada masalah baginya (berkhatan),” katanya yang berjanji untuk membawa anak ketiganya itu menonton wayang sebaik sembuh.

 ADRIEL Rayyan Chukwuemeka Daniel ditenangkan bapanya.
ADRIEL Rayyan Chukwuemeka Daniel ditenangkan bapanya.

Sementara itu, dua beradik, Muhammad Danish Iman Mohd Shahril, 8, dan Mohd Khalish Iman, 4, berasa lega selepas selesai pembedahan meskipun terpaksa menahan kesakitan.

“Mulanya tak berapa sakit, lama-lama saya tidak tahan (sakit). Begitu juga adik.

“Saya mahu pulang cepat untuk berehat,” katanya ditemani ibu, Shafiqah Ayu Mohamad, 36, dan nenek serta ibu saudaranya bagi memberi semangat.

SHAFIQAH Ayu bersama Muhammad Danish  (kanan) dan Mohd Khalish.
SHAFIQAH Ayu bersama Muhammad Danish (kanan) dan Mohd Khalish.

Ketiga-tiga kanak-kanak terbabit antara 70 peserta program Khidmat Komuniti Hospital Melaka 2018 yang dirasmikan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Pergigian) Dr Muhammad Mahadi.

Program membabitkan anak kakitangan hospital dan murid sekolah kebangsaan sekitar negeri itu dikendalikan 15 penolong pegawai perubatan terlatih dengan prosedur standard dorsal slit yang dijamin lebih selamat.

Hadir sama, Pengarah Hospital Melaka Dr Hatijah Mohd Tan dan Pakar Pembedahan Klinikal Muhd Zaki Azre Redzuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 11:20 AM